Hadi sedia buktikan di mahkamah isu dakwaan tawaran AS jatuhkan BN
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaannya untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan parti itu pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan BN pada 2014.
Bagaimanapun katanya, terserah kepada peguam negara sama ada dia akan berdepan pendakwaan di mahkamah atau sebaliknya.
"Serah kepada peguam negara menentukan (pendakwaan), kita ada bukti (akan) bawa ke mahkamah.
"Semua jawapan ialah ke mahkamah, buktikan di mahkamah. (Jika ke mahkamah) baru kita boleh tunjukkan (bukti)," katanya kepada media selepas kuliah di Rusila di Terengganu, hari ini.
Dia turut memaklumkan proses rakaman keterangannya oleh pihak polis berlangsung tidak sampai sejam di Kuala Lumpur.
Rabu lalu setiausaha politiknya Syahir Sulaiman mengesahkan tokoh politik veteran PAS itu sudah dirakam keterangan oleh pihak polis beberapa hari lalu.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Ia susulan ucapannya dalam penggulungan Muktamar PAS ke-72 baru-baru ini yang mendakwa tawaran tersebut dibuat ketika salah satu lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia.
Ketika itu, beberapa pemimpin PAS telah dijemput menghadiri satu acara di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Kedua-dua lawatan Obama ke Malaysia pada 2014 dan 2015 berlaku ketika Najib Razak masih menjadi perdana menteri.
Abdul Hadi berkata perkara itu berlaku ketika PAS merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat.
Dia turut berkata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang ketika itu merupakan setiausaha politiknya, turut menghadiri acara berkenaan.
Abdul Hadi berkata dia menghadiri jemputan itu bersama bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.
Bagaimanapun Kedutaan AS menafikan dakwaan Abdul Hadi, bahawa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan BN.
David H Gamble Jr, yang kini mengetuai Kedutaan AS di Kuala Lumpur, berkata negaranya tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Sebarang dakwaan sebaliknya adalah palsu, katanya.
/file/attachments/orphans/g45634sdf_838939.jpg)
