SPRM menyerahkan notis kepada bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim, dan keluarganya pada minggu ini supaya mereka mengisytiharkan aset masing-masing dalam tempoh sebulan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abdul Halim Aman, berkata borang pengisytiharan aset turut diberikan kepada mereka.

"Kami juga sudah menyerahkan notis kepada Datuk Seri Azeez dan ahli keluarganya untuk mengisytiharkan hartanya dalam tempoh sebulan seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

"Notis berkenaan disampaikan kepada beliau dan ahli keluarganya dan ada borang tertentu diberikan bagi pelaporan harta tersebut dilakukan atau dilaporkan kepada pihak SPRM," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Minggu lalu, Azeez mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Azeez didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Tabung Haji pada tahun 2014 untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad sebagai satu bentuk suapan, yang disertakan dengan ganjaran tahunan sebanyak RM690,000, sebuah kereta BMW Siri 7, dan seorang pemandu peribadi.

Kertas pertuduhan menyatakan bahawa Azeez melakukan perkara itu dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji ketika itu, Ismee Ismail, supaya melantiknya sebagai wakil dana haji tersebut dalam Putrajaya Perdana.

Bekas ahli parlimen Baling itu juga didakwa mengarahkan Ismee supaya memujuk ahli lembaga pengarah Tabung Haji yang lain dalam satu mesyuarat bagi meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana, sebuah syarikat yang dia mempunyai kepentingan di dalamnya.

Pertuduhan terhadapnya, yang dibuat di bawah Seksyen 23(1), memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Azeez sebelum ini telah direman selama tujuh hari, antara 27 Ogos hingga 2 September, bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, bagi membantu siasatan SPRM berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.

Dia sebelum ini mendakwa tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas pengurusan operasi dana haji tersebut, sambil menyatakan bahawa dia hanya memegang peranan bukan eksekutif sepanjang tempoh perkhidmatannya dari tahun 2013 hingga 2018.

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai itu mengesyorkan, antara langkah lain, satu audit forensik bagi meneliti keputusan pelaburan terdahulu yang menyebabkan penurunan ketara dalam nilai aset institusi tersebut.

Laporan itu, yang meneliti pengurusan dan operasi Tabung Haji antara tahun 2014 dan 2020, turut mengenal pasti pelaburan yang memerlukan audit forensik. Ia juga mengenal pasti transaksi yang mencurigakan serta maklumat yang disembunyikan.