Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi mengenai keputusan Lembaga Pengampunan yang dilaporkan membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, pada kebiasaannya surat rasmi dihantar oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat Lembaga Pengampunan.

"Jadi, keputusan semalam yang dilaporkan meluas oleh media ialah keputusan tahanan rumah jika sekiranya RM50 juta denda itu dibayar.

"Apa pun, di peringkat KDN dan Jabatan Penjara, kita menunggu keputusan rasmi itu yang akan disampaikan secara hitam putih sepertimana keputusan Lembaga Pengampunan terdahulu disampaikan kepada kita.

"Sekarang ini kita belum terima apa-apa. Selepas itu barulah KDN akan menentukan tindakan untuk melaksanakan keputusan tersebut sesuai dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya kepada pemberita di Kedah hari ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Former PM Najib Razak smiling photo 182926 EDITED AND REUPLOADED

Bagaimanapun, pengampunan itu disertakan syarat bahawa Najib perlu membayar denda RM50 juta dan mematuhi semua syarat yang dikenakan di bawah pengampunan berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai lokasi tahanan rumah Najib, Saifuddin berkata KDN perlu meneliti sama ada Lembaga Pengampunan menetapkan premis tertentu atau menyerahkannya kepada Jabatan Penjara.

"Sebab itu saya kata saya nak tengok dulu surat itu. Untuk lebih selamat, lebih baik komen saya kepada media adalah sehingga surat pemakluman rasmi sebab kita nak tengok apakah ada lagi keputusan-keputusan yang telah dipertimbangkan, dibincang, kemudian dibuat keputusan.

"Tentunya itu akan disampaikan secara bertulis kepada kami.

"Berdasarkan kepada surat itu, sama ada ia terhad kepada keputusan lembaga ataupun lembaga turut memberi kuasa lagi kepada Jabatan Penjara. Semua itu kami akan teliti," katanya.

Saifuddin turut merujuk keputusan Lembaga Pengampunan terdahulu, apabila hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, KDN ketika itu dimaklumkan secara bertulis dan seterusnya memaklumkan kepada Najib bahawa bekas presiden Umno itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 jika denda RM50 juta dibayar. Jika tidak dibayar, tarikh pembebasan ialah 23 Ogos 2029.

Belum ada undang-undang tahanan rumah

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Malaysia belum mempunyai undang-undang mengenai tahanan rumah.

Dia berkata pernah ada ura-ura untuk menggubal akta itu, tetapi khusus untuk tahanan reman, bagi menangani kesesakan penjara.

Katanya, Kabinet telah bersetuju secara dasar agar dia memulakan proses membentangkan Akta Tahanan Rumah di Parlimen.

"Jika rang undang-undang itu diluluskan, tahanan reman boleh dikeluarkan ke rumah dan dipantau melalui peranti moden sehingga tarikh perbicaraan," katanya.

Malaysia pada masa ini mempunyai 41 penjara dengan kira-kira 93,000 penghuni, sedangkan kapasitinya adalah 75,000 banduan.