Bersatu terbuka kerjasama dengan parti lain
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata parti itu terbuka untuk merintis kerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Bersatu juga terbuka untuk merintis kerjasama dengan parti-parti lain yang menghormati prinsip-prinsip asas perjuangan Bersatu. Ini adalah syarat yang utama.
"Sebagai sebuah parti perjuangan, Bersatu tidak akan sekali-kali menggadaikan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mendapatkan laba dan kuasa," katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.
Dalam pada itu Muhyiddin turut mengesahkan parti itu sedang meneroka kerjasama dengan Muda dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
“Saya ingin mengesahkan bahawa kita telah mengadakan perbincangan awal dengan parti Muda untuk merintis kerjasama pilihan raya. Respons awal yang kita terima adalah positif.
“Insya-Allah, bentuk kerjasama akan diperincikan dalam masa terdekat.
"Kita juga telah mendapat isyarat daripada parti Putra yang secara prinsipnya terbuka untuk merintis kerjasama dengan Bersatu. InsyaAllah, perbincangan lanjut akan diadakan dengan kepimpinan parti Putra," katanya.
Kenyataan Muhydidin itu dibuat ketika PH Melaka kini sedang memuktamadkan rundingan dengan parti-parti yang mempunyai aspirasi sama, termasuk Bersatu bagi membentuk kerjasama PH Plus untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/72de6fb8065b29d0b6daa6af29c374db.jpg)
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari semalam dilapor berkata rundingan itu dilaksanakan berdasarkan ketetapan yang telah diambil dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
“Rundingan itu juga termasuk dengan Bersatu, namun sebarang bentuk kerjasama hanya akan diumumkan selepas proses rundingan selesai," katanya seperti dilapor Bernama semalam.
Bersatu ditubuhkan pada 2016 susulan pergolakan dalam Umno, selepas Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015 dan dipecat daripada UMNO pada Jun 2016.
Muhyiddin mengemukakan permohonan pendaftaran parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 Ogos 2016, dengan beliau sebagai presiden pro-tem dan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi pro-tem. ROS meluluskan pendaftaran parti itu pada September tahun sama.
Bersatu kemudiannya menyertai Pakatan Harapan dan menjadi sebahagian daripada gabungan yang memenangi PRU14 pada 2018.
Parti itu meninggalkan PH pada 2020 dan menjadi antara parti utama dalam Perikatan Nasional, dengan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada 2020. Muhyiddin bagaimanapun meletak jawatan pada 2021 selepas kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.
Bersatu kini berdepan kemelut serta ketegangan hubungan dengan rakan-rakan dalam PN terutama PAS.
Mengulas mengenai prinsip perjuangan, Muhyiddin berkata mempertahankan prinsip bukan sesuatu yang mudah kerana pengalaman mengajar bahawa harga yang perlu dibayar adalah mahal dan jalan yang perlu dilalui sukar.
Menurutnya, Bersatu mungkin kehilangan kuasa dan kedudukan kerana mempertahankan prinsip, selain kehilangan rakan serta pengikut yang sebelum ini setia bersama parti.
“Ini kerana tidak ramai yang sanggup melalui jalan yang susah bersama-sama kita semata-mata untuk mempertahankan prinsip.
“Hakikatnya, dalam dunia politik tidak ramai orang yang berani meletakkan prinsip di hadapan. Dalam banyak keadaan, kuasalah yang diletakkan di hadapan, manakala prinsip dibuang apabila tidak lagi berguna untuk mencapai kuasa,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/2293ad3993d6e4a99682e673a40d716c.jpg)
