Anwar digesa bubar parlimen susulan peletakan jawatan Loke
Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa membubarkan Parlimen susulan keputusan Menteri Pengangkutan Anthony Loke menawarkan peletakan jawatannya.
Gesaan itu dibuat Pengarah Komunikasi Strategik Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal selepas mendakwa tawaran peletakan jawatan pemimpin DAP itu telah menambah kekusutan politik dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, hari ini.
Menurut Syed Mohd Johan, langkah itu perlu bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan yang mereka mahukan, berbanding membiarkan 'drama politik' berterusan sehingga tamat penggal.
“Kerajaan Madani sudah hampir karam dan tidak mampu dipertahankan lagi, jikalau menunggu sehingga habis penggal lagi banyak politiking akan berlaku dan ia tidak baik untuk ekonomi negara, menjejaskan reputasi pada negara luar dan yang paling merisaukan kualiti hidup rakyat akan semain terhakis.
"PMX harus jadikan 'langkah DAP' sebagai penamat terhadap kekusutan politik negara," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, rakyat sudah letih dengan "drama politik melampau" ketika mereka berdepan tekanan kos sara hidup akibat dasar dan polisi kerajaan yang didakwanya tidak bijak.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/3a401005b1c351cd39bbde8e33d6ad96.jpg)
Dalam pada itu, Syed Mohd Johan turut mempersoalkan keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk menawarkan peletakan jawatan, sedangkan menteri DAP lain termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming masih kekal dalam Kabinet.
Syed Mohd Johan berkata Nga sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa beliau akan meletakkan jawatan jika bekas perdana menteri Najib Razak mendapat pengampunan.
"Jika syarat janji Nga belum berlaku kerana Najib masih menjalani hukuman, mengapa Anthony perlu berundur?
"Jika keputusan ini cukup serius sehingga seorang menteri mesti berundur, mengapa bukan Nga yang mengotakan kata-katanya?" katanya.
Dia turut menegaskan Loke setakat ini belum meninggalkan Kabinet, sebaliknya hanya menawarkan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri.
Pada masa sama, dia juga mempersoalkan pendirian DAP terhadap institusi Raja dan menggesa parti itu tidak hanya menggunakan slogan "Daulat Tuanku" apabila keputusan yang dibuat menyebelahi kepentingan politik mereka.
Pada Jumaat, Najib mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Perkara itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Bekas presiden Umno itu akan menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, sekiranya dia membayar denda RM50 juta.
Susulan itu, Loke semalam dilaporkan meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat kepada Najib.
Loke berkata, DAP bagaimanapun menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
/file/attachments/orphans/anwar122_472907.jpg)
