ULASAN | Pengampunan Najib beri bola tanggung pada PH
Pengampunan bersyarat kepada Najib Razak beri bola tanggung kepada PH dalam PRU16.
Baru satu hari berlalu, sudah jelas Pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Najib Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah memudaratkan Umno mulai sekarang dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi, adalah satu medan tempur yang kecil. Medan perang besar ialah Pilihan Raya Umum yang perlu diadakan sebelum Februari 2028.
Sekarang Umno-BN sudah mula berada dalam keadaan defensif. Di media sosial, rakyat sudah mula bertanya: Bila Umno mahu lancarkan tabung pulihkan kerugian 1MDB?
Sejarah Najib Razak memimpin Umno bukanlah sejarah gilang gemilang membawa kemenangan kepada Umno-BN dalam pilihan raya.
PRU pada tahun 2013, Umno-BN hampir hilang kerajaan Persekutuan. Itu kali pertama Najib Razak memimpin Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional.
Bukan sahaja BN hilang majoriti 2/3 di Dewan Rakyat, tetapi angka data SPR menunjukkan jumlah undi popular rakyat kepada Pakatan Rakyat mengatasi BN walaupun BN jadi kerajaan Persekutuan.

Itu tanda-tanda awal kejatuhan Najib Razak, Umno dan BN. Apabila sampai PRU14 pada tahun 2018, Najib Razak sebagai Perdana Menteri ditolak rakyat. Rakyat hanya perlu dua isu sahaja untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak, iaitu isu cukai GST dan isu rasuah 1MDB.
Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin dua tokoh pimpinan Umno yang keluar dari Umno atau dipecat dari Umno oleh Najib Razak telah bergabung dengan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim.
Gabungan besar ini telah dapat menyatukan rakyat Melayu dan bukan Melayu untuk menolak skandal 1MDB Najib Razak.
Sekarang pengampunan bersyarat Najib Razak telah mengubah lanskap politik Malaysia. PH sekarang mendapat bola tanggung dari pengampunan Najib.
Sebelum Najib diberi pengampunan, Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, Presiden PKR dan Pengerusi PH begitu defensif. Beliau dikritik secara terbuka dan juga di media sosial tidak henti-henti setiap hari.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/fdc3a867e632439ca05eb50244bf4c89.jpg)
Kini keadaan sudah berubah angin. Sekarang apabila Najib Razak diberi pengampunan dan lega hukum, tiba-tiba simpati kepadanya kerana merengkok dalam penjara meruap dan lesap Rakyat mulai marah apabila melihat sistem keadilan negara ini ada dua darjat.
Satu untuk rakyat biasa golongan marhaen dan satu lagi untuk elit politik dari kelas bangsawan.
Mulai hari kedua Najib menerima pengampunan, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno kembali kepada status co-pilot kepada Umno. De facto pemimpin Umno sekarang bukan lagi Ahmad Zahid Hamidi tetapi Najib Razak.
Sekarang rakyat Malaysia dari semua kaum, budaya dan agama, dari Semenanjung dan Sabah serta Sarawak sudah dapat melihat dua wajah pemimpin mereka iaitu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Najib Razak pemimpin Umno yang baru keluar dari penjara untuk tahanan seterusnya di rumah. Penilaian kini di tangan rakyat sendiri. Mana satu antara kedua mereka yang boleh membawa Malaysia ke arah yang lebih baik?
Jika dalam PRU15 tahun 2022, PAS dan Bersatu bergabung dalam Perikatan Nasional dengan membawa naratif PN yang Bersih dan Amanah, jadi kini bagaimana PAS dan Umno boleh membawa naratif yang sama: Bersih dan Amanah dengan kehadiran Najib Razak yang disabitkan bersalah dalam kes SRC International; juga sekali lagi disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan pelupusan wang haram melibatkan lebih RM2 bilion berkait 1MDB.
Untuk kes ini Najib Razak dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan denda RM11.38 bilion. Keputusan mahkamah ini sedang dirayu oleh Najib Razak.
Dari segi politik, Najib Razak kini betul-betul menjadi beban kepada Umno dan juga PAS. Tidak ada beban, batu digalas. Bagaimana Umno dan PAS sekarang hendak bercakap mengenai kerajaan yang bersih dan amanah, yang telus, cekap dan adil apabila kini Najib telah muncul di hadapan mata rakyat sebagai satu simbol yang mencurigakan bagi sebuah kerajaan yang dikatakan the government in waiting?
HASSAN KARIM Ahli Parlimen Pasir Gudang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/attachments/orphans/najib23121_480507.png)
