Bekas Perdana Menteri, Najib Razak sukar memenuhi syarat bayaran denda RM50 juta untuk membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah kerana sebahagian asetnya masih dibekukan, kata peguamnya, Shafee Abdullah.

Dalam kenyataan bagi pihak anak guamnya, Shafee berkata sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah anak guamnya masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan, dan pelupusannya tidak berada sepenuhnya dalam kawalannya pada masa ini.

Justeru Shafee berkata anak guamnya kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi memenuhi syarat tersebut.

"Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang. Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya.

"Walaupun anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, beliau tidak mahu sesiapapun, tidak kiralah Parti, ahli-ahli dan penyokongnya, mahupun orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau.

"Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan. Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini," katanya.

Shafee berkata Najib secara khusus merakamkan penghargaan kepada Presiden Umno yang juga Pengerusi BN dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, selain kepimpinan dan anggota Umno serta BN yang terus berdiri teguh bersamanya sepanjang tempoh berkenaan.

Pada Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan, memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Bagaimanapun, pengampunan itu disertakan syarat bahawa Najib perlu membayar denda RM50 juta dan mematuhi semua syarat yang dikenakan di bawah pengampunan tersebut.

Pada hari yang sama, Peguam Negara, Dusuki Mokhtar memberitahu Malaysiakini bahawa pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib hanya terpakai kepada hukuman penjara yang dijatuhkan dalam kes SRC International.

Penjelasan Dusuki itu bermakna Najib mungkin perlu kembali ke penjara kerana masih berdepan beberapa kes jenayah lain di mahkamah.

Antaranya ialah hukuman penjara 15 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu selepas disabitkan atas 25 pertuduhan dalam kes 1MDB. Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar denda RM11.38 bilion.

Najib sedang merayu terhadap sabitan tersebut.

DAP berang, Anthony Loke letak jawatan

Malam tadi, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata dia akan meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.

Loke mengumumkan keputusan itu selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

"Kita capai satu keputusan saya tawarkan diri saya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan.

"Ahli-ahli jemaah menteri (DAP) yang lain akan kekal berada dalam kerajaan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu.

Loke berkata DAP bagaimanapun menghormati keputusan berhubung pengampunan yang diberikan Lembaga Pengampunan dan diputuskan oleh Sultan Ibrahim.

Menurut Loke, dia satu-satunya pemimpin DAP yang menawarkan diri untuk berundur bagi memastikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kekal stabil.

Katanya, jika semua anggota Kabinet daripada DAP meletakkan jawatan, ia boleh menyebabkan kerajaan sedia tumbang, seperti yang diharapkan pihak lawan.

Dalam kenyataan di Facebook, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata keputusan itu tidak dibuat dengan mudah dan memerlukan pertimbangan yang mendalam.

Dia turut menggesa kerajaan mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan.