KPM kemuka cadangan semak syarat pemilikan pusat tuisyen minggu depan
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu depan.
KPM berkata ketetapan berkaitan perkara itu telah diperincikan dalam Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada 2006.
“KPM mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung ketetapan tersebut dan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak.
“KPM berpandangan bahawa ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia.
“Sehubungan itu, KPM akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KPM berkata pihaknya menghargai sumbangan pengusaha pusat tuisyen selama ini dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia.
Perkembangan itu susulan kebimbangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi pusat tuisyen dan institusi pendidikan swasta lain yang beroperasi di bawah struktur syarikat.
Pada 15 September lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa KPM memberikan penjelasan berhubung perkara itu susulan laporan China Press yang memetik satu hantaran media sosial yang mengkritik syarat berkenaan.
Kenyataan Lee itu dilaporkan memberi gambaran bahawa pengusaha bimbang tidak dapat memperbaharui pendaftaran mereka susulan ambang ekuiti berkenaan dikatakan akan dilaksanakan mulai tahun depan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/485bcef23365db96d6cc24d50d2c017e.jpg)
Bagaimanapun, KPM menjelaskan bahawa ketetapan itu bukan perkara baru dan telah diperincikan dalam dasar yang diterbitkan pada 2006.
Menurut salinan Pernyataan Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang dilihat Malaysiakini, dokumen berkenaan menetapkan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera.
Malaysiakini turut memperoleh dokumen berasingan daripada arkib dalam talian KPM yang mengandungi garis panduan penubuhan, pendaftaran dan pengoperasian pusat tuisyen.
Garis panduan itu turut menyatakan bahawa pusat tuisyen yang distrukturkan sebagai syarikat sendirian berhad perlu mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera.
Garis panduan berkenaan tidak menyatakan tarikh penerbitan dan dipercayai tidak lagi tersedia di laman web KPM.
Semakan Malaysiakini juga mendapati dokumen itu telah diarkibkan pada 14 Mei lalu.
Tidak jelas bila dokumen berkenaan mula dimuat naik atau dikeluarkan daripada laman web kementerian, atau sebab ia diturunkan.
Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, turut berkata Jemaah Menteri telah mengarahkan KPM menyemak semula syarat ekuiti berkenaan selepas dia membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet pada 18 September.
Pengarah Strategik Kebangsaan MIC, Sivaraj Chandran, turut mempersoalkan kewajaran syarat pemilikan ekuiti itu dengan mengatakan usaha meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan hak dan ekuiti masyarakat bukan Bumiputera.
“Jika seseorang telah memulakan perniagaan bertahun-tahun lalu menggunakan modal sendiri dan menanggung risiko sendiri, membina reputasi, menyediakan pekerjaan serta mematuhi semua peraturan, mengapa mereka kini perlu menyerahkan sebahagian pemilikan kepada Bumiputera hanya untuk mendapatkan atau memperbaharui lesen?” katanya dalam kenyataan semalam.
Dia turut mencadangkan supaya kerajaan memperluaskan pemilikan Bumiputera melalui pembiayaan, latihan, kontrak kerajaan, akses pasaran dan peluang perniagaan baru.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/02/103390c4d9edfa36f4c480bb5ac9cb07.jpg)
