Orang dari Brunei, Itali dan Kanada antara penderma tabung Najib - Rosmah
Rosmah Mansor, isteri Najib Razak, menzahirkan rasa terima kasih kepada mereka yang menyumbang kepada usaha pengumpulan dana bagi membayar denda RM50 juta bekas perdana menteri itu, dengan dana turut diterima daripada rakan-rakan di luar negara.
Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Rosmah menegaskan bahawa mereka yang menyokong inisiatif pengumpulan dana itu "hanya mahu melihat Datuk (Najib) kembali ke pangkuan keluarga."
"Saya benar-benar terharu. Bukan sahaja sumbangan yang dihulurkan daripada rakan-rakan dan sahabat taulan di sini, tetapi juga dengan rakan-rakan dari luar negara — dari Brunei, Itali, Singapura, dan negara lain, termasuk sejauh Kanada.
"Mereka telah menghubungi saya untuk menyatakan kegembiraan mereka terhadap perkembangan terkini mengenai Datuk Sri Najib sambil menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan," katanya.
Dalam satu hantaran berasingan di Instagram, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, berkata ketika keluarga melawat Najib pada 19 September lalu, Najib berulang kali menyatakan rasa terharunya melihat orang ramai sanggup menyumbang kepada 'dana solidaritinya'.
“Daddy betul-betul tak sangka begitu ramai yang sanggup menyumbang.
"I would never force it on anyone (saya tidak akan sekali-kali memaksa sesiapa menderma),” katanya, memetik kenyataan Najib.
Bekas perdana menteri itu diberikan pengampunan bersyarat pada 18 September, dengan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan—yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong—menetapkan bahawa dia perlu membayar denda RM50 juta sebelum dibenarkan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Susulan keputusan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelancaran kempen kutipan derma oleh parti bagi "membantu meringankan" beban Najib dalam membayar denda yang dikenakan ke atasnya.
Keesokan harinya, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa kementeriannya dan Jabatan Penjara masih menunggu surat bertulis rasmi daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengenai pengampunan bersyarat yang diterima oleh Najib.
Semalam, peguam Najib, Shafee Abdullah, berkata keupayaan Najib untuk membayar denda itu bergantung kepada perkara di luar kawalannya, dengan merujuk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan kerajaan terhadap "sebahagian besar" aset, akaun bank, dan hartanah milik Najib.
Sementara Najib dan pasukan peguamnya meneliti terma pengampunan bersyarat serta implikasi praktikalnya, Shafee berkata bekas pemimpin Umno itu "tidak mahu parti, ahli dan penyokongnya, atau orang ramai berasa terbeban atau terikat kerananya".
/file/attachments/orphans/RosmahMansor21092611_794314.png)
