Wa’ad Malaysia: Anwar tegaskan tiada sesiapa harus tersisih di bumi sendiri
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan negara ini terletak pada penerimaan hakikat bahawa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyatnya adalah sebahagian daripada satu keluarga besar yang berkongsi tanah air dan masa depan yang sama.
Dalam hantaran di media sosial petang ini, dia mengimbas kembali ucapannya pada Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-41 di Melaka semalam, yang menekankan kepentingan perpaduan serta memberi amaran terhadap bahaya perpecahan.
“Malaysia tidak akan menjadi negara yang besar sekiranya kita terus terperangkap atau terheret dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit,” katanya di Facebook.
“Inilah Wa’ad Malaysia bahawa janji dan ikrar kita untuk mempertahan hak setiap rakyat, menghormati bahasa, budaya dan agama masing-masing, serta memastikan tiada sesiapa berasa tersisih di bumi sendiri,” tambahnya.
Anwar berkata kepelbagaian bukan kelemahan Malaysia, sebaliknya ia khazanah dan kekuatan negara yang harus disuburkan sambil bersama-sama membina sebuah negara yang bersih daripada rasuah, kukuh perpaduannya dan berani melangkah sebagai satu bangsa.
Dalam ucapannya di Melaka, perdana menteri mengulangi tegurannya kepada parti politik agar untuk tidak menggunakan isu perkauman bagi menarik sokongan.
Dia berkata taktik sedemikian sering digunakan jika parti politik berada dalam keadaan terdesak, terutama ketika berlaku dinamika politik yang tidak menguntungkan mereka.
“Kemudian politiknya simpang-siur, gaduh-gaduh. Bila dah gaduh, semua tarik sokongan, guna isu kaum. Bila terdesak, guna lagi isu kaum,” katannya.
/file/attachments/orphans/anwar13_146546.png)
Sambil mengambil maklum bahawa Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 69 tahun lepas, tambahnya isu perkauman seharusnya tidak lagi menjadi keutamaan mana-mana masyarakat yang tinggal di dalam negara ini.
Anwar berkata memasuki hampir 70 tahun kemerdekaan negara, Malaysia perlu tampil sebagai sebuah negara yang tumbuh dengan kekuatan pelbagai kaum tidak kira siapa yang memimpin negara.
“Ucapan malam ini lebih kepada rayuan. Rayuan supaya kita kembali dengan kekuatan. Setiap suara dikira. Untuk survival kita. Tak habis lagi kah, bincang, gaduh. Negeri siapa? Negeri kita.
“(Di tahun) 40-an, 50-an, tahun 1950-an saya faham. (Negara) baru nak merdeka, masing-masing bicara soal survival kaum mereka. 60-an ya, (Malaysia merupakan) negeri baru,” katanya sperti yang dilaporkan Bernama.
Anwar berkata sekarang semua suara harus bercakap soal survival masa depan Malaysia sebagai satu negara yang bersatu.
“Bahawa siapa sahaja diberi mandat, siapa sahaja disokong, mesti janji menjaga rakyat, menjaga negara, menjaga masa depan anak-anak kita sebagai satu negara,” kata perdana menteri.
/file/attachments/orphans/anwar166_676029.png)
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan rasuah serta penyalahgunaan kuasa dan akan membanterasnya habis-habisan.
“Saya dan kerajaan (pimpinan) saya tidak bertolak ansur dan saya akan terus bertindak tegas untuk bersihkan negara ini, bersihkan negara ini dari rasuah,” katanya lagi.
/file/attachments/orphans/anwar1asdsd_463509.png)
