ULASAN | Ahmat Adam: Sejarawan dan tugas kemasyarakatan
Intelektual adalah seorang pemikir yang gagasan pemikirannya mampu memberi arah panduan, teguran dan usulan, secara kritis dan kreatif.
Intelektual itu dalam peranannya, seyogianya menjadi kelompok yang berfungsi untuk masyarakatnya.
Inilah yang disebut Syed Hussein Alatas sebagai “intelektual berfungsi,” yang memiliki empat ciri yang harus dipenuhi.
Pertama, seseorang intelektual menunjukkan kemampuan untuk mengenal pasti permasalahan yang wujud dan bertahan dalam masyarakat;
Kedua, ia berkemampuan mentakrif permasalahan yang diperhatikan telah dan sedang, ataupun yang akan membelenggu masyarakatnya;
Ketiga, berkemampuan untuk merungkai dan mengupas dengan pertimbangan berhemah dari segi-segi permasalahan itu;
Keempat, berkemampuan untuk menganjur atau menyarankan jalan keluar dari permasalahan atau isu yang dihadapi itu.
Dalam banyak hal, tidak keterlaluan untuk mengatakan Prof Ahmat Adam (1941-2025), dengan usaha dan gagasan pemikirannya memperlihatkan ciri-ciri intelektual berfungsi ini.
Bergema dalam sejumlah penulisan beliau dua perkara penting. Pertama, beliau akur kepada perubahan dan kesinambungan yang berlaku dalam sejarah.
Kedua, pemahaman dan pemikiran yang utuh akan membuat masyarakat dan negara bergerak dalam kemajuan, pencerahan, kemajmukan dan keuniversalan.
Prof Ahmat Adam ialah antara barisan sejarawan Malaysia yang tegas, berani dan produktif. Beliau beranggapan:
“Sejarah ialah sumber inspirasi untuk kita melahirkan gagasan, fikiran dan idea untuk memperbaiki keadaan masa kini dan masa akan datang. Peristiwa dalam sejarahlah yang telah menggerakkan emosi, nilai dan cita-cita unggul yang menjadikan hidup ini bermakna. Kita mempunyai tradisi atau warisan kebudayaan kerana sejarah.”
Beliau melihat peranan sebagai sejarawan yang harus memenuhi tuntutan intelektual untuk masyarakat dan negaranya.
Beliau berkesimpulan: “Sejarawan sebagai pemelihara budaya.” Beliau menghuraikan:
“Profesion sejarawan menuntut dua peranan daripadanya; pertama, dia penjaga atau pelindung warisan budaya, dan kedua, dia jurukisah pembangunan manusia. Justeru, sebagai pelindung (guardian) warisan budaya, sejarawan mestilah seboleh-bolehnya mungkin menegakkan keakuratan (accuracy), kerincian (detail), dan sikap tidak memihak (impartiality) terhadap ceritera tentang masa lampau, baik tentang seseorang tokoh, mahupun kejadian, pemikiran, institusi dan benda-benda yang selagi pengetahuan, dan kritik sumber mengizinkannya.”
Ketegasan untuk menyanggah kesalahan dan putar belit fakta, mesti menjadi kepedulian utama sejarawan. Sejarawan bukan penglipur lara:
“Sejarawan patut menolak atau mengutuk sebarang percubaan memutarbelitkan sejarah yang disebabkan oleh berfikir masa kini. Sejarawan tidak boleh melihat masa lampau dengan idea baharu dan demi tujuan kepentingan sekarang. Tidak boleh sejarawan membuktikan betul atau salahnya sesuatu penyebab di luar konteks sejarah sebelum berlakunya kejadian.”
Jika sejarawan mempunyai visi intelektual yang luas, mampu merentas silang ilmu bantu, ia akan menjamin mutu kupasannya:
“Tentang peranannya sebagai pencerita pembangunan manusia, dia perlu mempunyai teori bagaimana manusia membangun. Justeru, dia perlu mendalami falsafah dan menguasai ilmu yang relevan, misalnya sosiologi, untuk dijadikan alat memahami perkembangan itu dan menganalisisnya.”
Sebagai ilmuwan, beliau menunjukkan kemampuan besar untuk membicarakan tema-tema yang pelbagai, dari teks zaman feudal, ke dokumen kolonial, sampailah sejarah persuratkhabaran dan percetakan, yang beliau sambungkan dengan pembinaan negara bangsa. Ini dapat kita telusuri dalam bukunya The Vernacular Press and the Emergence of Modern Indonesian Consciousness (1855-1913) yang terbit pada 1995.
Kajian-kajian yang beliau buat umumnya teliti, kaya dengan sumber primer, yang kemudian dapat dinarasikan dengan jelas, peka dengan kesarjanaan yang sedia ada, dan menambah perspektif setelah beliau membuat analisis ke atas bahan kajian yang beliau kerjakan.
Sebagai sejarawan beliau mengingatkan peri penting kesahihan bahan sejarah. Malah mengatakan: “Penentuan kesahihan fakta harus bermula dengan rasa skeptik.”
Sikap dan pendirian beliau untuk membaca ulang sejarah, menjadikan beliau terus terpanggil untuk membongkar beberapa andaian dan kesimpulan sejarah dan kajian yang terdahulu.
Dalam dunia pensejarahan Malaysia, kajian yang diteroka beliau telah menawarkan beberapa perspektif dan kesimpulan yang menarik dari pelbagai segi:
Pertama, dalam merungkai sejarah perkembangan dunia akhbar dan penerbitan kita sebenarnya menyelongkar ataupun membaca sejarah intelektual untuk masyarakat di Nusantara.
Kedua, pesatnya berkembang dunia akhbar dan penerbitan di kota-kota pelabuhan di Nusantara bersemarak kerana sisi kosmopolitanisme yang muncul di kawasan ini.
Ketiga, perkembangan akhbar dan penerbitan berkait rapat dengan kepesatan ekonomi di kota-kota, melahirkan kelas menengah yang membaca dan terdidik.
Keempat, akhbar menjadi wadah menggerakkan pembaharuan Islam dan semangat nasionalisme. Ruang akhbar menjadi tempat pelbagai suara yang pro atau antikolonial, serta menjadi wadah berita kepada penduduk di pelbagai belahan Nusantara untuk saling mengetahui berita dan pengetahuan dari seberang.
Penyuntingan teks klasik
Di saat dalam kesarjanaan sejarah yang dominan meragui teks peribumi sebagai dokumen sejarah, Prof Ahmat Adam masuk ke gelanggang filologi dengan mengusahakan penyuntingan teks agar kita hari ini lebih waras dan tajam untuk menilai mana yang fakta, mitos dan bagaimana sesetengah bacaan boleh menjejaskan pemahaman umum, mahupun di dunia akademik.
Terbitan teks-teks yang penting ini sangat berguna untuk Kajian Kebudayaan dan Pengajian Melayu.
Pastinya penerbitan dan bacaan/tafsiran baharu oleh beliau membawa perspektif yang rencam dan mendalam kepada pengajian dunia Melayu.
Hasil suntingan beliau yang cermat, terhasil suntingan ilmiah yang berharga seperti: Letters of Sincerity: The Raffles Collection of Malay Letters (1780-1824) - A Descriptive Account (2009); Hikayat Hang Tuah (atau Hikayat Hang Tuah) (2018); Hikayat Raja Pasai (2019) dan Tawarikh Hikayat Melayu atau Sulalat u's-Salatin: yakni Pituturan Segala Raja-Raja - Versi Raffles (2025).
Keilmuan dan kemandirian
Prof Ahmat Adam ialah seorang sejarawan yang memiliki pelbagai minat untuk menekuni bidang ilmu kemanusiaan.
Kajian awal beliau sebenarnya tertumpu untuk menjejaki perkembangan bahasa dan sastera di tanah air dan serantau.
Seorang ilmuwan seperti beliau bukan setakat dilihat dari kecemerlangan beliau dalam menghasilkan kajian dan produktif dalam penerbitan karya-karya ilmiah, tetapi yang lebih penting, kemampuan beliau.
Inilah yang dapat memperlihatkan sisi-sisi kemandirian dalam arena pemikiran atau kepimpinan pemikiran.
Keilmuan yang hanya hidup dan berkembang di dunia akademik pastilah berguna dalam produksi ilmu. Namun ia belum pasti dapat tersebar, subur dan dimanfaatkan dalam masyarakat, yakni di ranah publik.
Di sinilah diperlukan ilmuwan yang mampu untuk hadir di tengah-tengah awam dan memberi kepimpinan idea dalam masyarakat itu.
Sekiranya kita mencermati sejumlah karya beliau, akan dapat kita telusuri tema-tema atau fokus kajiannya diangkat berdasarkan konteks keperluan semasa. Ini bermakna, beliau bukan setakat menjadi sejarawan antiquarian yang hanya bicara kisah lampau dan silam, dan terpisah dari masyarakat dan cabaran semasa.
Pertama, pemilihan tema kajian yang beliau usahakan dapat kita kaitkan dengan kepedulian beliau terhadap isu semasa.
Kedua, beliau dengan jelas melakukan penelitian bukan kerana mengikuti pola teoretis yang pernah dilakukan dalam kesarjanaan terdahulu.
Ketiga, beliau memperlihatkan keberanian dalam menjungkir balik tafsiran, fakta dan perspektif yang sudah lama terpakai dan dianggap sudah “benar” dan mapan.
Keempat, jelas dari hasil kajian beliau, dapat disimpulkan bahawa penulisan sejarah baginya bukan sekadar dokumentasi dan membilang riwayat dan peristiwa itu dan ini, tetapi menjadi wacana yang mencerahkan, rasional dan berimbang.
Ini semua dapat berlangsung dengan baik kerana adanya kemandirian berfikir yang diterapkan atau diyakini oleh Prof Ahmat Adam sendiri.
Kemandirian berfikir ini sangat penting agar seseorang ahli akademik tidak dibelenggu oleh pemikiran yang kolonial ataupun yang disebut sebagai orientalisme.
Diperhatikan banyak yang galak menghentam kolonial dan Barat, namun struktur atau pola fikirannya ternyata serupa dengan apa yang dipegang oleh para orientalis.
Cara pemikiran sebegini meletakkan ciri khas dan tetap kepada bangsa Yang Lain (The Other), dengan segala sifat yang rendah mutu, tidak rasional, magis dan eksotik.
Dalam dunia kesarjanaan walaupun adanya kesedaran agar kita tidak terhimpit oleh hegemoni orientalisme/kolonialisme, banyak pengkaji, baik yang mapan atau baru, masih dibelenggu oleh beberapa andaian dan usulan orientalisme, secara sedar ataupun tidak.
Inilah sisi yang Prof Ahmat Adam berdiri utuh sehingga tidak mudah termakan dengan pembingkaian ilmu yang tersasar.
Menjangkau sejarah, kepedulian bercambah
Prof Ahmat Adam melihat peri penting para sejarawan memiliki kemampuan untuk melakukan kerja ilmiah yang merentas batas pengkhususan masing-masing.
Beliau sendiri akur bahawa sisi ini perlu ada dalam cakrawala pemikiran dan kemahiran para intelektual.
Sejarawan yang konvensional jarang yang mahu keluar dari pengkhususannya.
Pengkhususan yang sempit boleh membawa perkembangan yang terencat kepada pengembangan ilmu.
Yang paling menarik, beliau juga menulis untuk memperbetulkan pelbagai andaian dan tafsiran yang salah dan berat sebelah dan prejudis.
Contohnya persoalan "Malayness" atau kemelayuan yang diangkat oleh beberapa pengkaji luar, yang berhujung meletakkan ciri-ciri tetap dan reduksionis, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh para pengkaji Orientalis.
Prof Ahmat Adam memperlihatkan kemampuan dwibahasa yang jarang terdapat dalam kalangan ahli akademik hari ini. Penerbitan karya yang diusahakan dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu.
Dari ketekunan kerja ilmiahnya, serta keluasan bidang ilmu yang beliau dalami, terpancar ciri-ciri kepimpinan yang disebut dalam ungkapan lama sebagai pemimpin berakal dan cerdas.
“Ilmunya banyak menjadi bekal
Menjalankan tugas hatinya pukal
Memikul beban ianya kekal
Fikirannya bulat imannya tebal”
“Hatinya terang fikiran cerdas
Ilmunya banyak pengetahuan luas
Tahu menyemak hujan dan panas
Tahu memilih antah dan beras”
Sesungguhnya beliau bukan hanya seorang ahli akademik yang sangat terlibat dengan wacana ilmu dan budaya yang bergerak dalam ranah awam.
Beliau walaupun terkenal tegas, tetapi diingati juga sebagai sosok ilmuwan yang sedia berdepan dengan anak-anak muda, dan rajin tampil dalam seminar dan forum.
Beliau ialah mahaguru sejarah yang banyak berjasa dan berbakti kepada dunia ilmu dan pensejarahan bangsa dan negara Malaysia.
Kajian beliau pastinya adalah tambahan dan sumbangan penting dalam lembaran pensejarahan Malaysia. Inilah guru sejarah yang berkali menitipkan ingatan bahawa:
“Telah berlaku sekarang ini kecelaruan fikiran dalam kalangan dari segi memahami erti sejarah dan menentukan, sama ada sesuatu peristiwa yang didakwa sebagai sejarah itu bukan berupa rekaan sebuah mitos.”
Moga ke depan ranah ilmu sejarah yang progresif tersahut di Malaysia dan rantau kita, serta disambut gagasan ilmu sejarah yang mandiri menolak segala bentuk keterjajahan pemikiran, keangkuhan ketuanan etno-agama mahupun yang elitis menolak suara rakyat kecil dalam wacana dan pendidikan sejarah. Itulah harapan beliau. Itulah juga harapan kita semua.
AZHAR IBRAHIM Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/attachments/886/Gemini_Generated_Image_vmg8awvmg8awvmg8_266145.jpg)
