KOLUM | Petang Ahad, 20 September 2026, Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, dipenuhi para perintis yang beberapa dekad lalu turun ke jalan raya. Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis bertemakan "Memperkasa Perjuangan, Mengenang Jasa" itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tarikhnya penuh makna. Pada 20 September 1998, Anwar berucap di hadapan lautan manusia di Masjid Negara sebelum ditahan pada malam yang sama.

Menurut anggaran saya, lebih seribu orang hadir majlis pada Ahad lalu. Hampir kesemuanya warga emas. Rambut kami sudah memutih dan usia kami sudah lanjut dan ada antara kami yang OKU namun semangat yang membawa kami ke dewan itu sama dengan semangat yang membawa kami ke jalanan pada 1998.

Dalam ucapannya, Anwar mengimbau perjalanan panjang bersama para perintis serta mengakui dirinya terhutang budi. Tanpa keberanian dan pengorbanan mereka, katanya, beliau tidak akan berdiri sebagai perdana menteri hari ini.

1998 reformasi bebas anwar ibrahim protest demo demonstration 210220 1

Beliau turut menyebut ada penyokong yang berasa terkilan, tersisih atau terpinggir sepanjang perjalanan, lalu meminta mereka tidak membiarkan rasa itu mematahkan tekad. Orang-orang seperti itu, menurut beliau, mungkin tidak terukir dalam sejarah, tetapi merekalah khazanah yang amat berharga.

Kata-kata yang paling melekat di hati saya ialah pesanan bahawa usia mungkin bertambah dan langkah mungkin semakin perlahan, tetapi semangat tidak boleh pudar kerana kita pernah jatuh, kalah dan menderita namun tahu bagaimana untuk bangkit.

Beliau menutup dengan seruan "lawan tetap lawan" dan menggesa kami menghimpunkan kekuatan serta mewariskan semangat itu kepada anak-anak, keluarga dan generasi seterusnya.

Anwar juga mengingatkan bahawa tembok penghalang perubahan itu kukuh, iaitu budaya rasuah, keangkuhan dan kemewahan yang sudah sebati dalam sesetengah kelompok. Perubahan, katanya, mesti dilakukan dengan hikmah, bijaksana dan sabar supaya kestabilan negara tidak terjejas, dan para reformis harus menjadi kekuatan yang membina, bukan yang merobohkan.

anwar ibrahim black eye circa 1998 290818 01 outside court

Beliau turut menjawab isu semasa, termasuk laporan awal Felda, pengampunan bersyarat Najib Razak dan kedudukan institusi raja berperlembagaan.

Saya tidak mahu memanjangkannya di sini, kerana bagi saya hari itu ialah hari mengenang. Sebagai perintis, saya menerima nasihat supaya bersabar dan saya juga faham bahawa rakyat berhak menagih hasil daripada perubahan yang dijanjikan.

Mengenang, bagi saya, bermula pada Ogos 1992 apabila saya menyertai TV3 dan kemudian menjadi pengarah Pantai Timur dan Malaysia Timur di Mega TV. Setahun sebelum reformasi, saya hampir ditaja menjadi ketua pemuda Umno Rompin, tetapi hanya bertahan sebulan kerana muak dengan budaya "takkan tangan kosong saja".

Pada 2 September 1998, sahabat saya sejak di Wellington, Zulkifli Nordin mengajak saya ke rumah Anwar di Damansara Heights. Malam itu laungan "reformasi" dan takbir "Allahu Akbar" bergema, dan saya tidak lagi dapat berdiam.

anwar ibrahim black eye blackeye after his arrest in 1998 060518

Sejak itu saya berdemonstrasi hampir setiap minggu, menulis dalam Harakah dan Harakahdaily dan berucap di pentas ceramah di Rompin ketika PRU 1999. Saya berada di Masjid Negara ketika Anwar berucap sebelum ditangkap, dan di sana saya bertemu semula dengan Zunar. Zulkifli kemudian ditahan di bawah ISA.

Saya masih ingat perjalanan dengan motosikal, meredah beberapa batang sungai, ke sebuah kampung di Rompin. Saya menangis melihat daifnya kehidupan penduduk di sana dan itulah yang menguatkan tekad saya untuk terus bersuara. Dalam perjalanan pulang, kami terpaksa menunggu kerana dikhabarkan ada samseng dihantar untuk memukul penceramah.

Harganya tidak kecil. Saya diletakkan dalam "cold storage" tanpa kerja, dipantau polis Cawangan Khas dan diberitahu tiada majikan akan mengambil saya.

Pada petang Jumaat, hari terakhir 1999, Jabatan Sumber Manusia menyuruh saya menulis surat berhenti. Saya menulis bahawa saya dipaksa berhenti tanpa sebarang kesalahan. Saya pulang dan memberitahu isteri dan dia tersenyum. Tawaran kerja di Riyadh sudah menanti.

1998 reformasi bebas anwar ibrahim protest demo demonstration 210220 1

Selepas Raya 2000, saya berangkat ke Arab Saudi, kemudian ke Dubai. Di sana rezeki melimpah: saya memegang jawatan kanan di Dubai Internet City dan menetap hampir dua dekad.

Namun reformasi tidak pernah meninggalkan saya. Saya menyertai Free Anwar Campaign sebaik dilancarkan, mewakili penyokong di UAE dan menulis untuk Malaysia Today apabila Raja Petra Kamarudin menjemput saya sebagai kolumnis. Laman itu dilancarkan pada 13 Ogos 2004 dan tidak lama kemudian, pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar.

Menjelang PRU12, kami penyokong di UAE mengutip dana untuk membantu kempen dan Tuan Guru Nik Aziz turut berkempen di Dubai pada Februari 2008.

Pada 12 Jun 2008, rumah saya di Al Twar 3 menjadi tempat sekitar 150 rakyat Malaysia bertemu Anwar, Khalid Ibrahim dan Husam Musa, kerana pemimpin pembangkang ketika itu tidak diterima di pejabat kerajaan. Beriyani seekor kambing habis dimakan malam itu. Kemudian saya diserang strok dan pulang ke Kelana Jaya pada 2018 sebagai warga OKU.

anwar ibrahim reformasi 1998 demo protest at masjid negara video screen grab from savemalaysia youtube video post 050918 03

Dalam satu tulisan pada 2001, saya pernah menyatakan bahawa sejarah perlu ditulis dengan sudut pandangan alternatif supaya rakyat dapat membuat pilihan yang lebih berwibawa. Itulah semangat di sebalik penulisan saya tentang gerakan reformasi. Saya juga teringat kepada rakan seperjuangan yang telah pergi, seperti MGG Pillai yang tulisannya menjadi rujukan saya ketika mula menulis tentang reformasi.

Semua ini saya rakamkan dalam buku Reformasi: The Untold Story dan Sajak-Sajak Reformasi. Buku pertama mencatat kisah TV3, jalanan dan perantauan. Sajak-Sajak Reformasi pula merakamkan perasaan era itu dalam bentuk puisi.

Melihat seribu lebih wajah tua di SITC, saya sedar reformasi bukan sekadar peristiwa 1998. Dua puluh empat tahun selepas pemecatan itu, pada November 2022, Anwar akhirnya dilantik menjadi perdana menteri.

Perjalanan itu menuntut kesabaran dan ada antara kami yang kehilangan pekerjaan, negara atau kesihatan untuk sampai ke sini. Penghargaan yang paling bermakna bagi kami bukan sekadar jamuan, tetapi perhatian sebenar terhadap kebajikan warga emas dan OKU yang dahulu berjuang demi hari ini.

Jika kami yang sudah beruban dan semakin lanjut usia ini masih mahu bangkit, adakah generasi yang mewarisi kebebasan itu bersedia menyambung perjuangan?


MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang orang kurang upaya (OKU), penulis dan pemenang anugerah sastera, pernah berkhidmat di TV3 serta bertugas sebagai ketua pegawai operasi (CEO) dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.