Tiada kawalan kawat berduri akan dilaksanakan di luar kediaman bekas perdana menteri Najib Razak apabila dia berpindah dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, dengan syarat dia melunmaskan denda RM50 juta.

Sambil menafikan khabar angin bahawa langkah keselamatan sedang diketatkan, termasuk pemasangan kawat berduri atau pagar besi, akan didirikan di sekeliling banglo berkenaan, Ketua Polis Daerah Sentul Anuar Bakri Abdul Salam berkata, dakwaan berkenaan tidak benar.

“Tidak ada. Tak ada kawalan yang begitu ketat. Pihak penjara bertanggungjawab di bahagian dalam, pihak polis akan bertanggungjawab di bahagian luar.

“Itu khabar angin sahaja,” katanya yang dipetik oleh TV3 ketika ditemui di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, hari ini.

Anuar Bakri mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Jabatan Penjara Malaysia di kediaman berkenaan bagi menilai aspek keselamatan premis itu dari segi pelaksanaan tahanan rumah.

Walau bagaimanapun, dia berkata keputusan akhir masih belum dimuktamadkan memandangkan perintah rasmi berhubung perkara itu belum diterima.

“Setakat ini belum ada perincian lagi, cuma kita buat penilaian tempat tinggal rumah Datuk Seri Najib, salah satulah.

“Jadi pihak penjara minta pihak polis hadir bersama untuk tengok dari seg aspek keselamatan. Dari segi aspek tahanan, pihak penjara yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu wartawan di Perak bahawa dia berharap mahkamah akan mempertimbangkan untuk membatalkan pembekuan aset Najib, yang menurutnya menjadi antara kekangan yang menghalang bekas perdana menteri itu menjelaskan denda RM50 juta berkenaan.

Ditanya sama ada terdapat usaha untuk membatalkan pembekuan aset tersebut, dia mengakui perkara itu antara langkah yang diharapkan dapat diambil.

“Ya, kita juga mengharapkan pihak mahkamah akan mengambil kira perkara ini," katanya.

Asyraf Wajdi Dusuki BN Barisan Nasional 200726

Mengenai Tabung Solidariti Najib yang dilancarkan Jumaat lalu bagi membantu bekas perdana menteri itu melunaskan denda berkenaan, Asyraf berkata puluhan ribu ringgit masuk pada setiap jam.

“Saya belum dapat jumlah yang terkini tapi saya menjangkakan hari ini kita akan mencecah RM2 juta. Cepat (jumlah kutipan), setiap jam RM40,000 hingga RM50,000 penambahan.

“Kita tidak mewajibkan kutipan (sumbangan). Sukarela siapa yang nak membantu,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan isteri Najib, Rosmah Mansor mendedahkan bahawa sumbangan turut diterima dari luar negara, termasuk dari Itali dan Kanada.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah pada 2020 atas kesalahan melibatkan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.