'Lancar perang pada Raja', Putra lapor polis
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa polis menyiasat Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim dan barisan exco negeri itu berhubung keputusan mereka menerima proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Setiausaha Agung Putra Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata parti itu berpandangan tindakan berkenaan wajar disiasat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, Putra melihat keputusan tersebut sebagai satu percubaan untuk mengganggu gugat institusi diraja Negeri Sembilan.
Seksyen 121 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan melancarkan perang, cuba melancarkan perang atau bersubahat melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
“Putra juga berpandangan bahawa tindakan tersebut boleh mewujudkan suatu duluan (precedent) yang menjejaskan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu serta perjalanan sistem perundangan negara.
“Keputusan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada pertimbangan perundangan yang sewajarnya dibuat dan nasihat penasihat undang-undang negeri diperoleh sebelum keputusan berkenaan dipersetujui secara sebulat suara.
“Putra juga berpandangan bahawa tindakan tersebut mencetuskan kekeliruan dan menghasut sebahagian masyarakat sehingga memudaratkan kedudukan institusi Raja-raja Melayu,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Terdahulu, barisan exco kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan kolektif untuk mengiktiraf proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai sah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/0c3e4d8afcc1e298f9366973021aa3bf.jpg)
Susulan keputusan itu, barisan exco berkenaan menggesa supaya Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berkuat kuasa serta-merta.
Pertikaian berhubung institusi diraja negeri itu kemudian berlarutan apabila Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Putra kemudiannya membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap Ismail serta barisan exconya.
“Putra menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang dan kedudukan Raja-raja Melayu merupakan asas dalam perlembagaan serta prinsip Rukun Negara.
“Justeru, perkara tersebut hendaklah sentiasa dihormati dan dipelihara oleh semua pihak serta diurus mengikut keluhuran undang-undang secara cermat, telus dan teliti,” kata Nasrul Ali.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/81975cab9814f7e08f94d544b03c5af3.jpg)
/file/attachments/orphans/perkasa234092429_134376.png)
