'Plat H bida RM91.2 juta bukan untuk bantu balik rumah’
Hasil bidaan elektronik nombor pendaftaran istimewa “H” yang mencecah RM91.2 juta akan digunakan antaranya untuk membantu pemandu teksi dan kereta sewa, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke menyindir bahawa hasil tersebut bukan untuk membantu mana-mana pihak “balik rumah”.
Meskipun tidak menyebut mana-mana pihak, hantaran itu dilihat merujuk usaha Umno mengumpulkan RM50 juta bagi membantu bekas perdana menteri Najib Razak membayar denda yang menjadi antara syarat untuk menjalani baki hukumannya secara tahanan rumah.
“E-bid untuk nombor pendaftaran istimewa "H" telah memecahkan rekod kutipan hasil Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) untuk satu siri nombor pendaftaran!
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/b5c4e2edf5a5dd49f6352fefe013cb4c.jpg)
“Jumlah hasil RM91.2 juta! H1 sahaja dapat hasil RM10.7 juta!
"Apa boleh buat dengan RM91 juta? Bukan untuk bantu 'balik rumah',” tulisnya pada hantaran di Facebook.
Pada 18 Sept lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan.
Susulan itu, Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib bagi mengumpulkan dana untuk membantu meringankan beban bekas perdana menteri berkenaan membayar denda tersebut.
Mengulas lanjut, Loke berkata separuh daripada hasil bidaan itu akan disalurkan kepada Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Persekutuan.
“Separuh lagi untuk membiayai inisiatif MOT yang berorientasikan rakyat. H ini asalnya nombor pendaftaran untuk teksi.
“Maka, dengan hasil yang lumayan ini, MOT akan gunakan wang ini untuk bantu pemandu teksi dan kereta sewa dari seluruh negara,” katanya lagi.
Loke juga memaklumkan ada berita baik untuk pemandu teksi akan diumumkan minggu depan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/b7ea320d5e4cb2ea489167339585b8b8.jpg)
