Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini menafikan penglibatannya dalam keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta.

Penjelasan MITI itu dibuat selepas KPM semalam memaklumkan keputusan berkenaan dicapai susulan perbincangan antara kedua-dua kementerian.

Dalam kenyataannya, MITI menjelaskan bahawa kementerian itu “tidak mempunyai maklumat” berhubung perkara berkenaan, selain menegaskan isu berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

"MITI berharap penjelasan ini dapat membantu memperbetul peranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam perkara ini supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas," kata kenyataan itu.

Malaysiakini telah menghubungi KPM bagi mendapatkan respons terhadap kenyataan MITI itu.

Keputusan KPM dibuat selepas timbul kebimbangan daripada pelbagai pihak berhubung syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera bagi institusi pendidikan swasta, termasuk pusat tuisyen yang beroperasi di bawah struktur syarikat.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dilihat tidak begitu senang dengan pemansuhan syarat itu, malah menyindir bahawa kerajaan mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam kalangan orang Melayu untuk menghakis perlindungan bumiputera.

Gambar Hiasan - Akmal Saleh

Dalam hantaran ringkas di Facebook pagi ini, Akmal berkata: “Kita sibuk berpecah sesama sendiri, kerja mereka tetap berjalan seperti biasa. Tahniah Madani!”

Pada 20 Sept KPM mengesahkan pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk meneliti semula peruntukan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen.

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada kementerian itu akan meneruskan cadangan berhubung peruntukan tersebut yang dinyatakan dalam Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada 2006.