Tiga pelakon teater ditahan persenda Rukun Negara
Tiga pelakon teater ditahan polis semalam bagi membantu siasatan berhubung pementasan pada 2018 yang didakwa mempersendakan Rukun Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata kesemua mereka yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, ditahan di Selangor dan Johor.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 28 dan 47 tahun itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, seorang telah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya dipetik New Straits Times di Kuala Lumpur hari ini.
Kumar berkata selain kemungkinan wujud unsur hasutan, polis turut menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Siasatan polis itu dibuat selepas petikan video pementasan berkenaan, tular di media sosial, baru-baru ini. Klip video tersebut dimuat naik ke Instagram oleh The Fever Kinetic Theatre Company sempena Hari Malaysia.
Difahamkan rakaman itu memaparkan lima pelakon yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia melafazkan Rukun Negara sambil mengeluarkan kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.
Dalam hantaran yang telah dipadam itu, kumpulan teater berkenaan berkata pementasan yang dipaparkan dalam rakaman video tersebut “menggunakan Rukun Negara sebagai cermin untuk berdepan dengan kemunafikan”.
“Kami mengemukakan persoalan yang tidak selesa mengenai kaum, identiti dan cerita yang kita ceritakan kepada diri sendiri untuk membuatkan kita berasa lebih baik tentang siapa diri kita. Teater sepatutnya menjadi ruang untuk kebenaran. Untuk ketidakselesaan. Untuk persoalan yang tidak mahu ditanya oleh orang lain.
“Tetapi, apa yang berlaku apabila teater itu sendiri menjadi ‘echo camber’? Apabila kita hanya mementaskan karya yang mengukuhkan apa yang sudah kita percayai? Apabila penonton tidak pernah dicabar, sebaliknya hanya diberi keselesaan?” menurut kapsyen hantaran itu berdasarkan tangkap layar yang tersebar di media sosial.
The Fever Kinetic sebuah kumpulan teater yang dilaporkan diasaskan oleh seorang koreografer Malaysia, beroperasi di Malaysia dan London.
Dalam kenyataan yang dimuat naik ke Instagram pada 20 September, kumpulan itu berkata pihaknya menyedari klip berkenaan telah tersebar dan mendakwa ia telah diambil di luar konteks dalam sesetengah keadaan.
“Kami memandang serius kebimbangan yang dibangkitkan dan sedang meneliti perkara ini dengan teliti. Kami telah mendapatkan khidmat peguam untuk memberikan nasihat kepada semua pihak, termasuk anggota pasukan kami.
“Kami akan memberikan perkembangan lanjut sekiranya wajar,” katanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, sebelum ini berkata laporan awal berhubung klip tersebut dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 18 September.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/627764ca76ed985deceefab3c37a7d8a.jpg)
