Ambiga, Maria sertai gerakan desak dedah minit mesyuarat lembaga pengampunan
Dua bekas pemimpin Bersih, Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah, menyertai desakan pelbagai pihak yang mahukan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan - yang membuka laluan kepada tahanan rumah buat Najib Razak - didedahkan kepada umum.
Ambiga dan Maria Chin merupakan antara penandatangan kenyataan bersama yang menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keyakinan awam kepada keadilan ke atas tokoh berprofil tinggi yang disabitkan bersalah.
Kenyataan Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya (Martabat PJ) itu ditandatangani 37 pertubuhan dan 385 individu.
Melaluinya mereka menyatakan pengampunan tambahan terhadap Najib diberikan ketika negara masih menanggung beban kewangan besar hasil skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.
“Beban rasuah berprofil tinggi akhirnya ditanggung rakyat yang membayar harganya melalui kehilangan hasil negara, khidmat hutang negara serta pengurangan peruntukan bagi infrastruktur awam dan pembangunan ekonomi yang penting.
“Terdapat kebimbangan kritikal yang memberi kesan kepada negara kita.
"Keputusan berkaitan nasib perundangan Najib - daripada pengurangan separuh hukuman penjara asal 12 tahun dan pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta, sehingga peralihan bersyarat kepada tahanan rumah - sememangnya menimbulkan persoalan mendalam mengenai ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang di Malaysia,” kata mereka.
Kumpulan terbabit menggesa minit penuh mesyuarat lembaga berkenaan didedahkan bersama alasan yang direkodkan bagi mendasari proses membuat keputusan ke atas permohonan pengampunan Najib.
Hanya ada satu kata - lawan
Menurut mereka, langkah tersebut penting bagi memastikan integriti sistem keadilan negara terus dipelihara serta memenuhi tanggungjawabnya kepada rakyat.
“Pendedahan lengkap amat penting bagi menjelaskan bagaimana kes melibatkan penyelewengan institusi berskala besar boleh berakhir dengan pelbagai pengurangan hukuman dan Najib - yang telah disabitkan kesalahan - kini diberikan keistimewaan tahanan rumah.
“Ketelusan penuh daripada lembaga pengampunan bukan sekadar permintaan, sebaliknya langkah penting bagi memastikan prinsip layanan sama rata di sisi undang-undang, tanpa diskriminasi dalam pelaksanaannya (antara dua darjat), dipertahankan serta membuktikan bahawa tiada individu berada di atas undang-undang,” tambah mereka.
Kali terakhir Bersih turun ke jalan raya dalam perhimpunan besar-besaran menentang Najib ialah pada Nov 2016.
Himpunan Bersih 5 itu berlangsung kurang dari dua tahun sebelum BN pimpinan Najib mencatat kekalahan bersejarah dalam PRU 2018.
Pada 18 Nov 2016 - sehari sebelum Bersih 5 - polis menyerbu pejabat Bersih di Petaling Jaya dan menahan Maria yang menjadi pengerusinya ketika itu. Turut ditahan polis ialah pengurus sekretariatnya, Mandeep Singh, yang turut menyokong kenyataan Martabat PJ.
Maria kemudiannya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), manakala Mandeep disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Beberapa tahun lalu, ketika Ambiga memimpin Bersih, dia turut menjadi sasaran gangguan susulan himpunan Bersih 3.
Selain “protes burger” di luar kediamannya oleh sekumpulan peniaga yang mendakwa mengalami kerugian akibat Bersih 3, sekumpulan pesara tentera turut mengadakan “senaman punggung” di hadapan kediaman peguam kanan berkenaan.
Peserta yang mendakwa mereka anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVTM) mendakwa, acara itu diadakan sebagai bantahan terhadap Ambiga yang mereka sifatkan sebagai “musuh" yang telah "mencemarkan nama baik negara”.
Jumaat lalu, kepimpinan Bersih ketika ini memberi isyarat bahawa mereka tidak akan membiarkan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan itu berlalu tanpa bantahan.
"Keputusan yang dibuat tanpa penjelasan yang jelas dan syarat yang boleh diterima akan menyukarkan rakyat untuk menerima hakikat bahawa seorang individu yang terlibat dalam rasuah boleh tidur dengan aman di rumah yang selesa dan di atas katil yang empuk.
“Ketika aktivis yang memperjuangkan dan berkempen menentang rasuah berdepan pembekuan akaun serta sekatan pergerakan, mereka yang terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa pula diberikan diskaun serta pengampunan. Rakyat hanya ada satu perkataan - lawan,” katanya.
/file/attachments/orphans/ambiga_723030.png)
