Pemuda PAS Kelantan tolak idea Amanah nak bubar DUN N Sembilan
Pemuda PAS Kelantan menyanggah cadangan dikemukakan Amanah agar DUN Negeri Sembilan dibubarkan susulan krisis institusi diraja dan adat di negeri itu masih gagal diselesaikan.
Ketuanya Mohd Firdaus Mohamed Nawi menyifatkan cadangan Amanah itu dibuat dengan sudut pandang terlalu mudah menilai kemelut politik.
Sebagai perbandingan Mohd Firdaus berkata membubarkan DUN kerana kemelut semasa sama seperti seorang tok bomoh mencadangkan seorang pesakit strok memakan ubat cacing.
“Strok tak sembuh, cacing bukannya punca. PRN Negeri Sembilan baru sahaja berlangsung pada 1 Ogos lalu.
“Maka, apabila pembubaran DUN sekali lagi dicadangkan dalam tempoh yang begitu singkat, persoalan yang perlu dijawab ialah: adakah setiap kali berlaku krisis politik, penyelesaiannya mesti mengadakan pilihan raya baru?
“Jika krisis berkaitan institusi, perlembagaan, undang-undang tubuh atau adat Negeri Sembilan masih belum selesai selepas PRN ke-17 nanti, apakah logiknya?Adakah DUN perlu dibubarkan lagi? Kemudian diadakan pula PRN ke-18?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mencadangkan agar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, menyembah mohon pembubaran DUN susulan pertembungan di antara pihak eksekutif dan istana yang belum berpenghujung.
Katanya, keadaan yang berlaku sekarang adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Amanah percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh Umno boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Amanah turut menyifatkan pergolakan politik yang berlaku sekarang mencapai tahap kronik apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menarik balik perkenan baginda ke atas pelantikan exco.
Untuk rekod, Tuanku Muhriz - yang dipertikaikan keabsahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan - membatalkan pelantikan semua exco berkuat kuasa serta-merta kelmarin.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas Tuanku Muhriz mendapati semua mereka memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Dia berkata menurut Perkara XXXVIII(5) UUTKNS 1959, seseorang exco dianggap memegang jawatannya selagi dia diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Mohd Firdaus berkata, cadangan supaya DUN dibubarkan adalah tidak semudah itu dan demokrasi bukan mesin pilihan raya yang diulang sehingga keputusan yang dikehendaki tercapai.
Tegasnya, rakyat Negeri Sembilan bukan mudah dipermainkan dengan naratif sedemikian dan perkara yang mungkin terlepas pandang oleh pimpinan Amanah ialah pilihan raya bukan percuma.
“Setiap pilihan raya menggunakan wang rakyat melibatkan pengurusan pilihan raya, logistik, keselamatan, petugas, kemudahan awam dan pelbagai lagi kos operasi.
“Mungkin mereka terlupa bahawa setiap kali mereka mencadangkan pembubaran DUN, ada kos yang perlu ditanggung oleh rakyat.
“Atau mungkin persoalan wang rakyat itu tidak difikirkan secara mendalam sebelum cadangan dibuat,” katanya.
Pendirian yang lebih bertanggungjawab, tambah Mohd Firdaus, ialah menyelesaikan persoalan yang timbul melalui Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang berkaitan.
"Bukannya menjadikan pilihan raya sebagai penyelesaian automatik,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/5e4ea81d202497ce1a51e77830d2a26c.png)
