Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menggesa Menteri Besar Ismail Lasim supaya mematuhi titah Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mengemukakan senarai baru calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk diberi pertimbangan.

Ini susulan kenyataan pihak istana pada 20 September yang mengumumkan pembatalan serta-merta pelantikan 10 ahli exco kerana didakwa melanggar sumpah jawatan mereka.

“PH Negeri Sembilan menegaskan bahawa Menteri Besar hendaklah mengambil tindakan sewajarnya terhadap titah Tuanku Muhriz supaya senarai calon ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru dipersembahkan untuk pertimbangan dan perkenan Baginda menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

"Tiada mana-mana anggota pentadbiran negeri boleh memilih untuk mematuhi titah Raja hanya apabila titah tersebut selari dengan kehendak mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menambah bahawa titah yang dikeluarkan oleh Tuanku Muhriz selaras dengan kuasa perlembagaan baginda mesti dihormati dan dipatuhi.

Gabungan itu juga menuduh 10 ahli exco terbabit terlibat sepenuhnya dalam usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz melalui proses yang didakwa tidak mematuhi Perkara 10(1) dan 10(2) UUTKNS.

Menurut mereka, menteri besar telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 17 September bagi memohon supaya Raja-Raja Melayu dimaklumkan mengenai penyingkiran Tuanku Muhriz dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-12.

Ia menyatakan bahawa surat itu turut memaklumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 15 September yang mengiktiraf perubahan tersebut serta mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakannya.

Menyifatkan tindakan yang didakwa itu sebagai satu bentuk penderhakaan secara terbuka terhadap Raja, PH Negeri Sembilan menggesa supaya satu siasatan bebas, telus dan menyeluruh dijalankan.

Ia menyatakan bahawa tindakan tegas wajar diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, tanpa mengira kedudukan atau pangkat individu terbabit.

Dalam perkembangan berasingan, Pemuda PH Negeri Sembilan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal, secara serta-merta ketika krisis perlembagaan semakin meruncing.

"Persoalannya mudah, mengapa mereka digantung dan mengapa sekarang?

“Kedua-dua jawatan ini mempunyai peranan penting dalam memberikan nasihat pentadbiran dan perundangan kepada Kerajaan Negeri, lebih-lebih lagi ketika Negeri Sembilan sedang berdepan krisis perlembagaan yang serius,” katanya.

Walaupun menegaskan bahawa mereka tidak membuat kesimpulan bahawa kedua-dua individu itu digantung kerana memberikan nasihat yang tidak disenangi kerajaan, sayap Pemuda itu menuntut penjelasan sama ada keputusan tersebut berkait dengan pandangan profesional mereka mengenai krisis berkenaan.

Ia menyamakan perkembangan itu dengan pergolakan politik pada tahun 2015, apabila Peguam Negara ketika itu, Abdul Gani Patail, digantikan semasa mengetuai pasukan petugas pelbagai agensi yang menyiasat 1MDB.

Ketika itu, Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas mengkritik cara pengendalian kontroversi tersebut.

"Jangan ulangi politik lama. Rakyat berhak bertanya sama ada budaya politik seperti ini sedang berulang, apabila ada yang menghalang, mempertikaikan atau memberikan nasihat yang tidak mahu didengar, mereka disingkirkan.

“Jika bukan demikian, Kerajaan Negeri perlu menjelaskannya dengan segera,” katanya.

PH Negeri Sembilan juga sebelum ini mengumumkan penganjuran solat hajat berjemaah di Seremban pada 24 September, diikuti dengan perhimpunan serupa di peringkat kawasan parlimen pada minggu-minggu berikutnya.