Pihak yang mendakwa sebagai undang dan pemimpin adat Negeri Sembilan hari ini memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan agar tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri tersebut.

Amaran ini dibuat sebagai respons terhadap nasihat yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC)—sebuah badan persekutuan—yang menyatakan bahawa keputusan Exco Negeri Sembilan untuk menerima proklamasi bertarikh 19 April oleh para pembesar itu untuk menggantikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar adalah tidak sah.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Mubarak Thahak (Sungai Ujong), Maarof Mat Rashad (Jelebu), Muhammad Abdullah (Johol), dan Abdul Rahim Yasin (Rembau) selain Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong, menegaskan bahawa merekalah pihak yang memegang kuasa untuk melucutkan kedudukan Tuanku Muhriz daripada takhta.

Kata mereka, Menteri Besar Ismail Lasim dan barisan exco hanya melaksanakan keputusan yang telah dibuat oleh mereka.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya setiap usaha pihak tertentu yang terang-terangan mahupun berselindung cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan kami di negeri kami ini.

"Kami ingin mengingatkan YAB Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan khususnya prerogatif kami di bawah Perkara 10 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 kerana YAB Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat sedemikian.

"Janganlah semata-mata kerana laba dan pengaruh politik atau tunduk kepada tekanan pihak tertentu, YAB Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja tanpa menggunakan akal dan hati nurani malah tidak segan silu melanggarkan prinsip keluhuran Perlembagaan," kata mereka.

Mereka merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa sebarang pertikaian mengenai hak pewarisan takhta Raja hendaklah diputuskan semata-mata oleh pihak berkuasa berkenaan dan mengikut perlembagaan negeri.

Tegas mereka, sebarang tindakan yang melanggar peruntukan itu adalah tidak berperlembagaan.

Mereka juga menasihati Tuanku Muhriz supaya menerima hakikat bahawa baginda telah disingkirkan daripada takhta.

"Kami juga menasihatkan Tunku Muhriz agar bermuhasabah, merendah hati dan menerima hakikat bahawa beliau telah diturunkan takhta maka berundurlah secara terhormat.

"Kami juga menyeru semua penjawat awam negeri agar tidak melayani sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dan hendaklah akur kepada ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta menumpahkan sepenuh taat setia kepada Raja Pemerintah Negeri Sembilan, iaitu Tuanku Nadzaruddin," kata mereka.

Pada 16 September, exco negeri mengeluarkan kenyataan yang mengisytiharkan bahawa proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar berkuat kuasa serta-merta.

Walau bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi maklum balas dengan menyatakan bahawa keputusan exco itu tidak sah, dengan alasan bahawa Menteri Besar dan exco negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Raja.

Ia menegaskan bahawa kesahihan dan kesan proklamasi itu mesti ditentukan melalui proses perlembagaan dan perundangan yang sah.

Susulan itu, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Zafir Ibrahim pada 18 September menyatakan bahawa mereka menerima nasihat AGC dan tidak akan mewartakan atau melaksanakan proklmasi itu.

Berikutan rasa tidak puas hati terhadap tindakan exco negeri, Tuanku Muhriz pada hari Ahad telah menitahkan pembatalan pelantikan kesemua 10 ahli exco negeri, kecuali Ismail.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak istana, tindakan itu diambil kerana mereka melanggar sumpah taat setia.

Pihak istana juga menitahkan agar menteri besar mengemukakan senarai ahli exco baru kepada Tuanku Muhriz.