Harga minyak susut hari ini selepas Presiden Donald Trump berkata wakil Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengadakan pertemuan yang disifatkannya sebagai rundingan yang 'sangat baik' di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent, dan kontrak utama AS, West Texas Intermediate (WTI), masing-masing susut kepada AS$98.91 dan AS$89.93 setong dalam dagangan awal Asia, jauh di bawah paras simbolik AS$100 yang berulang kali ditembusi sejak perang di Asia Barat tercetus pada Februari.

AFP melaporkan pertemuan selama tiga jam itu adalah 'sangat baik' dan 'sangat produktif', selain satu lagi pertemuan dijadualkan berlangsung 'dalam masa terdekat', kata Trump kepada pemberita ketika beliau bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

US United States of America and Iran flag 160426

Pengumuman Trump itu dibuat hanya beberapa jam selepas dia menyampaikan ucapan tegas.

"Saya mempunyai satu keputusan besar yang perlu dibuat," kata Trump dalam ucapan di Perhimpunan Agung PBB di New York.

"Adakah satu perjanjian akan dicapai dengan Iran yang membolehkan mereka membina semula dan menjadi sebuah negara yang jauh lebih hebat berbanding sebelum ini?..

“Atau adakah saya akan memusnahkan Republik Islam itu secara cepat, tanpa memberi mereka peluang untuk membunuh dan memusnahkan manusia serta negara lain lagi?" soalnya.

Sementara itu, Reuters melaporkan Angkatan Tentera Iran melalui satu kenyataan pada Selasa menolak kenyataan Trump di PBB sebagai "propaganda", sambil menegaskan bahawa jawapan mereka adalah "kesiapsiagaan penuh untuk mengenakan pukulan yang lebih keras, memusnahkan dan tidak dapat dijangka ke atas penceroboh".

Namun di sebalik gertakan keras itu, perbincangan tetap diteruskan bagi menamatkan konflik hampir tujuh bulan yang bermula dengan serangan bersama AS-Israel.

Konflik tersebut setakat ini membunuh ribuan nyawa, melonjakkan harga minyak dan menyeret negara jiran.

US United States President Donald Trump in a statement saying they will bomb Iran back to the stone age 020426

Trump sebelum itu dilaporkan berkata utusan AS Steve Witkoff dan Jared Kushner "menjalankan pertemuan yang sangat produktif hari ini dengan perantara Iran".

"Saya fikir terdapat momentum yang kuat untuk mereka mencapai kesepakatan," katanya.

Trump juga dilaporkan bertemu dengan pemimpin negara-negara Asia Barat yang berhasrat memulihkan laluan perkapalan di Selat Hormuz — laluan bagi satu perlima penghantaran minyak dan gas global sebelum perang — tetapi berwaspada daripada memberikan terlalu banyak kuasa kepada saingan tradisi mereka, Iran.

Banyak daripada negara berkenaan turut menempatkan pangkalan tentera AS yang besar, yang berulang kali menjadi sasaran serangan Iran sepanjang peperangan ini.

"Kita merasakan situasi dengan Iran boleh selesai sejurus selepas pilihan raya pertengahan penggal (3 Nov), atau mungkin lebih awal.

“Saya tidak pasti. Kita tidak boleh jangka," kata Trump ketika bertemu para pemimpin tersebut.

Dia turut berikrar bahawa harga minyak akan turun sebaik sahaja AS memenangi perang berkenaan.

Penurunan harga minyak berlaku ketika pengeksport minyak mentah terbesar dunia, Arab Saudi, dilaporkan menyambung semula operasi saluran paip East-West, laluan penting eksport minyak yang ditutup akibat konflik yang melanda Asia Barat.

wave of air strikes against Iran in retaliation to the attacks on Oil Tankers in the Strait of Hormuz US is now striking Bandar Abbas port 080726

Riyadh bulan ini berkata bahawa dron yang dilancarkan dari Iraq memaksa penutupan saluran paip berkenaan, yang semakin digunakan negara itu bagi mengelak sekatan terhadap Selat Hormuz oleh Iran.

Kerajaan Arab Saudi menyasarkan untuk menyambung semula eksport pada akhir minggu ini, menurut sumber yang dipetik Bloomberg.

Bagaimanapun, AFP melaporkan syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco, dilaporkan memberitahu penapis minyak Asia bahawa mereka boleh mendapatkan minyak mentah dari pelabuhan Laut Merah di Yanbu tidak lama lagi, manakala rakan niaga Eropah dimaklumkan bahawa mereka tidak akan diperuntukkan minyak pada Oktober, lapor Bloomberg.

Peniaga turut memberi perhatian kepada Washington menjelang sidang kemuncak antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping, yang dijangka memberi tumpuan kepada perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Perang perdagangan AS-China yang kembali hangat menjadi kebimbangan utama, memandangkan kedua-dua pihak mengekalkan gencatan tarif selama hampir setahun tetapi masih belum mencapai perjanjian yang berkekalan.

US President POTUS Donald Trump met China president Xi Jinping in south korea

"Namun, isu yang mempunyai impak lebih besar ialah perang di Asia Barat dan sebarang sokongan yang boleh diperoleh AS daripada China untuk menggunakan pengaruhnya bagi memujuk Iran," kata penganalisis kanan pasaran kewangan di Capital.com, Kyle Rodda.

"Isu berprofil tinggi yang lain ialah kecerdasan buatan (AI) dan perlumbaan senjata yang semakin berkembang antara dua pesaing ekonomi dan strategik itu, susulan amaran terbaharu pemimpin teknologi AS bahawa teknologi berkenaan boleh menimbulkan risiko kewujudan jika tiada kawal selia yang lebih kukuh."