Kuasa kehakiman persekutuan perlu untuk rungkai kemelut N Sembilan
Penyelesaian melalui kuasa kehakiman Perlembagaan Persekutuan adalah langkah yang amat diperlukan pada ketika ini agar merungkai kemelut takhta dan perlembagaan Negeri Sembilan dapat dirungkaikan.
Mantan Ketua Hakim Syarie Perak dan hakim rayuan syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Prof Madya Muhamad Asri Abdullah, berkata penglibatan Mahkamah Persekutuan diperlukan bagi memberikan tafsiran undang-undang yang muktamad berhubung pertikaian kuasa antara Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta barisan exco kerajaan negeri.
Menurutnya, krisis itu berakar umbi daripada percanggahan tafsiran terhadap Perkara 10 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berkaitan proses penurunan takhta dan kesahan keputusan yang dibuat oleh pihak-pihak terbabit.
Asri berkata, Undang Yang Empat berpegang pada prerogatif mereka untuk menurunkan takhta pemerintah, manakala pihak istana menegaskan bahawa proses “siasatan penuh” (full and complete enquiry) di bawah Perkara 10 UUTKNS tidak dipatuhi, sekali gus mempertikaikan kesahan proklamasi pada April lalu.
“Memandangkan isu ini membabitkan tafsiran teks perlembagaan bertulis, Mahkamah Persekutuan adalah satu-satunya badan tertinggi di Malaysia yang mempunyai inherent constitutional judicial power (kuasa kehakiman perlembagaan sedia ada) untuk memberi pengisytiharan undang-undang yang autoritatif,” katanya dalam satu hantaran awam di media sosial hari ini.
Tambah Asri, ketika ini pakar undang-undang dan penganalisis politik menilai kemelut yang melanda Negeri Sembilan yang cuba diselesaikan melalui rundingan politik dan mekanisme adat tempatan menemui jalan buntu.
Hubungan yang retak di antara barisan exco yang mendakwa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta dengan titah balas baginda membatalkan pelantikan mereka sudah mencetuskan kelumpuhan pentadbiran negeri.
“Apabila mekanisme dalaman gagal, rujukan kepada mahkamah sivil persekutuan menjadi jalan terakhir untuk memelihara kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.
Bukan ketepi institusi adat
Dia turut mencadangkan supaya peguam negara memfailkan petisyen atau membawa pertikaian itu ke Mahkamah Persekutuan.
Menurut Asri, prosiding di hadapan korum penuh hakim – dicadangkan sekurang-kurangnya sembilan orang – adalah penting bagi menghasilkan hala tuju perundangan yang jelas dan mengikat pihak-pihak terlibat.
Langkah itu juga, katanya, dapat mengelakkan ketidaktentuan dalam pentadbiran negeri serta melindungi penjawat awam daripada terus terheret dalam krisis berkenaan.
Asri berkata, selain penyelesaian melalui Mahkamah Persekutuan, mekanisme dalaman DKU atau majlis raja-raja Melayu turut boleh menjadi pilihan bagi merungkai pertikaian itu.
Tambahnya, pendekatan berkenaan membolehkan kemelut diselesaikan melalui muafakat dan ketertiban Adat Perpatih tanpa campur tangan luar.
Bagaimanapun, dia menyifatkan pilihan itu berdepan kesukaran kerana pertikaian melibatkan pihak-pihak utama dalam DKU sendiri, khususnya antara Undang Luak dengan Yang di-Pertuan Besar.
Sehubungan itu, Asri menegaskan penyelesaian melalui kuasa kehakiman Persekutuan bukan bertujuan mengetepikan institusi adat, sebaliknya membolehkan pertikaian diputuskan oleh pengadil bebas berdasarkan undang-undang tertinggi negara.
Katanya, campur tangan kehakiman pada peringkat ini amat diperlukan bagi merungkai kemelut yang tidak lagi mampu diselesaikan melalui rundingan domestik.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/sdfdasdasdasd_340625.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.