Belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata tanggungjawab untuk berbincang mengenai perkara berkenaan diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari.

"Saya sudah tugaskan kepada Amirudin Shari dan bincang. Kita ni jangan sombong. Kalau orang kata sedia bincang, kita bincang, itu cara politik.

"Ada orang kata tak ada, bincang pun salah. Setuju atau tidak setuju terpulang kepada jawatankuasa (Jawatankuasa Pilihan Raya PH)," katanya kepada media Malaysia di Hangzhou.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja tiga hari ke China, kini dalam perjalanan ke Hangzhou dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi.


Mengenai perbincangan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi PRN Melaka, Anwar yang juga Presiden PKR mengesahkan berbuat demikian dengan Bersatu.

"Dengan Bersatu pun kita bincang, tak ada lagi keputusan. Saya serah kepada jawatankuasa. Saya tumpu kepada urus negara," katanya.

Semalam, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa hari ini.

Penggal DUN Melaka akan berakhir pada 27 Dis depan.

- Bernama