Kerajaan bayar RM1.18 juta ganjaran kepada penjawat awam lapor rasuah
Kerajaan membayar sejumlah RM1.18 juta kepada 652 penjawat awam sebagai pengiktirafan kerana berani menampilkan diri melaporkan kes pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang 2012 hingga 2025.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abd Halim Aman berkata empat agensi mencatatkan bilangan penerima tertinggi adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 437 orang, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) 64, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 33, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 21.
"Antara kes berprofil tinggi diketengahkan ialah penolakan tawaran rasuah bernilai RM200,000 oleh seorang pegawai PDRM di Perlis susulan kes rampasan dadah syabu seberat 1.8 tan, selain kes penolakan suapan RM45,000 di Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Program pengiktirafan itu merupakan kesinambungan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) pada 19 Ogos 2010 serta Surat Pekeliling Garis Panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011.
Bagi siri penilaian 2026, sekretariat mengemukakan 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan untuk dinilai iaitu dari polis (38 calon), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (12), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL (tiga) dan Imigresen (seorang).
"Penilaian tahun ini melibatkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
"Kesemua calon yang dinilai telah melepasi proses tapisan keutuhan SPRM serta semakan rekod jenayah polis bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan yang ditetapkan," katanya.
Abd Halim berkata pengiktirafan itu bukan sekadar menghargai integriti penjawat awam, tetapi turut menjadi dorongan dan contoh kepada penjawat awam lain.
Dia menjelaskan, penjawat awam yang dicalonkan perlu membuat aduan rasmi mengenai pemberian atau penerimaan rasuah, serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat SPRM sehingga perbicaraan kes di mahkamah selesai.
"Inisiatif ganjaran ini kini diperluaskan bukan sahaja kepada agensi penguatkuasaan, malah ke seluruh sektor perkhidmatan awam khususnya pegawai di bahagian perolehan supaya lebih ramai berani menyalurkan maklumat bagi membendung kegiatan rasuah," katanya.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.