Wartawan KiniTV, Yap Si Err, 29, disenarai pendek sebagai antara 12 wartawan terbaik yang bersaing untuk Anugerah Wartawan Muda Thomson Foundation yang berprestij pada tahun ini.

Wartawan multimedia daripada bahagian video Malaysiakini itu dipilih berdasarkan siri laporan lima bahagian yang menyiasat bagaimana penjenayah mengeksploitasi media sosial untuk menyebar dan memperdagangkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

https://newslab.malaysiakini.com/ai-child-harm/telegram/en/

Anugerah ini mengiktiraf laporan berita hasil karya wartawan yang mendedahkan sesuatu isu, mencetuskan perdebatan awam, serta telah atau berpotensi membawa perubahan positif dalam masyarakat.

Menurut pengumuman Thomson Foundation semalam, sejumlah 217 wartawan dari 56 negara telah menyertai pertandingan tahun ini, dengan pemenang akan diumumkan pada satu majlis di London pada bulan November.

Laporan penyiasatan Yap mengenai CSAM itu dihasilkan melalui kerjasama dengan AI Accountability Network di bawah Pulitzer Center. Ia mula diterbitkan pada bulan Julai tahun ini.

BACA LANJUT: Jaringan tersembunyi di sebalik bahan penderaan seksual kanak-kanak di Malaysia

Hasil kerja Yap yang lain termasuk kerjasama dengan Unicef ​​Malaysia untuk mengendalikan sesi latihan bagi wartawan dan editor mengenai cara melaporkan isu CSAM secara beretika dan bertanggungjawab, dengan memberi tumpuan khusus kepada usaha meminimumkan kemudaratan serta mengelakkan trauma sekunder.

Dapatan kajiannya turut diterapkan dalam bengkel untuk golongan belia yang membincangkan topik daya tahan digital, keselamatan dalam talian, serta peranan yang boleh dimainkan oleh belia dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Sebelum ini, bekas wartawan Malaysiakini, Wong Kai Hui, telah memenangi Anugerah Wartawan Muda Thomson Foundation 2021 menerusi laporannya mengenai penglibatan kerabat diraja Pahang dalam projek kemudahan pelupusan sisa kekal (PDF) Lynas di Bukit Ketam, Kuantan.

Susulan laporan tersebut, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, melupuskan pegangan 50 peratus dalam syarikat yang dilantik untuk membina PDF, manakala Jabatan Alam Sekitar mengarahkan Lynas supaya mencari tapak baru.