Tindakan terhadap PN agenda berniat jahat - Takiyuddin
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima notis tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari bagi tujuan pembatalan pendaftaran gabungan itu daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Menyifatkan tindakan itu sebagai "natijah daripada agenda berniat jahat", Takiyuddin berkata pihaknya akan mengambil langkah segera melalui proses undang-undang untuk menyelamatkan gabungan itu.
"PN mengambil maklum keputusan ROS, namun tidak bersetuju dengan asas keputusan tersebut dan sedang mengambil langkah-langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia demi mempertahankan matlamat penubuhan dan agenda perjuangannya yang didukung oleh ahli-ahli dan penyokongnya.
"PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (mala fide) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN," katanya dalam kenyaataan.
Semalam Malaysiakini melaporkan PN berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya selepas ROS dikatakan menghantar surat kepada pemimpin utamanya melarang sebarang aktiviti atas nama parti gabungan itu dijalankan.
Bagaimanapun ROS dalam kenyataannya hari ini berkata notis yang dikeluarkan terhadap PN bukan keputusan membatalkan pendaftaran parti itu, sebaliknya bagi memberi ruang kepada PN menjelaskan aduan yang dikemukakan Bersatu.
ROS dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] itu, dikeluarkan pada 22 Sept dan PN diberikan tempoh munasabah untuk menjawab
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/d0968346154e2d67790b2b354f703ec9.jpg)
Menurut Takiyuddin, pembatalan tersebut terkait dengan aduan daripada Bersatu terhadap PN berhubung satu mesyuarat bertarikh 16 Julai.
PN juga katanya telah menerima satu perintah di bawah subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh yang tidak ditentukan.
Katanya, notis dan perintah itu diserahkan kepada PN secara berturut-turut pada 22 dan 23 September 2026, yang kebetulan pada hari pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Sehubungan dengan itu, Takiyuddin menyeru ahli-ahli dan penyokong PN agar bertenang.
Dia juga menegaskan PN akan memberikan maklumat dan dokumen berkaitan kepada orang ramai secara telus serta memaklumkan perkembangan berkaitan isu itu dari semasa ke semasa.
"Sekali gus dengan ini PN mengeluarkan perintah larangan (gag order) berkuatkuasa serta merta kepada mana-mana pihak dari mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi pihak PN, kecuali Pengerusi dan Setiausaha Agung PN," katanya.
Sementara itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata parti itu yakin notis dan perintah yang dikeluarkan pada tarikh yang sama dengan pembubaran DUN Melaka akan diuruskan mengikut peruntukan undang-undang.
"Atas prinsip musyawarah dan akauntabiliti, PAS juga akan bersama-sama parti komponen dalam PN yang bertanggungjawab bagi meneliti dan mengambil segala langkah yang wajar mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang ditetapkan terutamanya Akta Pertubuhan 1966 bagi memenuhi matlamat dan objektif penubuhan dan perjuangan PN," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/4bacd777cad3028fd6500daedae3d709.jpg)
