Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan seorang remaja lelaki daripada tuduhan membunuh.

Permohonan kepada Mahkamah Rayuan itu dikemukakan pada Selasa lalu selepas AGC mempertimbangkan keputusan hakim Mahkmah Tinggi Shah Alam.

“Setelah mempertimbangkan keputusan yang arif hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut, jabatan ini memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 22 September 2026 bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut,” katanya AGC dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 14 Sept lalu Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu.

Bagaimanapun, hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam Kitson Foong yang mewakili remaja itu berkata mahkamah mendapati anak guamnya tidak waras ketika kejadian itu berlaku.

“Penama (remaja lelaki) didapati tidak waras pada jam, tarikh dan masa kejadian dalam bulan Oktober (2025). Oleh itu, Seksyen 84 Kanun Keseksaan telah berjaya ditimbulkan oleh pembelaan. Mahkamah telah merekodkan keputusan pembebasan atas alasan tidak sempurna akal,” katanya.

Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa membunuh rakan sekolahnya di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Okt 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan untuk tempoh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 97 (2) akta sama.