Dulu ditahan kini membela, bekas pemimpin Bersih selar guna AMLA tekan aktivis
Sedekad selepas dibawa ke Balai Polis Jinjang dengan kenderaan polis yang diiringi pegawai berpenutup muka, bekas anggota jawatankuasa pemandu Bersih, Mandeep Singh mendapati dia kembali di tempat yang sama sekali lagi.
Namun, keadaan kali ini telah berubah, walaupun kenangan lama masih segar.
Kali ini, dia berada di sana untuk memberikan sokongan moral kepada Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan Pengarah Kewangan, Dobby Chew, yang ditahan di balai polis berkenaan.
Mengimbas pengalaman itu dalam satu hantaran di Facebook, Mandeep berkata kepulangannya ke Jinjang membangkitkan semula kenangan penahanannya semasa perhimpunan Bersih 5.
Kini berkhidmat sebagai pegawai kepada Menteri Digital, Gobind Singh, Mandeep meluahkan rasa kesal kerana Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) digunakan terhadap aktivis.
“Saya sendiri pernah melalui perkara yang sama ketika saya berada di Bersih. Maria Chin Abdullah dan saya ditahan pada 18 November 2016 kerana penganjuran Himpunan Bersih 5. Maria kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 124C SOSMA, manakala saya di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Akaun bank Bersih juga sering kali disiasat,” katanya.
Mandeep mengakui bahawa pihak berkuasa berhak menjalankan siasatan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpin anak muda itu, namun mempersoalkan penahanan Amir dan Chew.
“Saya sendiri menyaksikan bahawa Amir dan Dobby telah memberikan kerjasama secara terbuka kepada PDRM. Jika tidak cukup masa untuk siasatan, mereka berdua boleh sahaja dipanggil semula untuk memberikan keterangan,” tambahnya.
/file/attachments/orphans/AmirHariri1_809233.png)
Dia mendesak agar kedua-duanya dibebaskan dengan serta-merta dan mendakwa mereka di mahkamah sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.
“Masyarakat sivil juga mempunyai tanggungjawab untuk terus menjadi suara check and balance kepada mana-mana kerajaan, termasuk Kerajaan Madani. Masyarakat sivil bukan musuh kita.
“Kita juga pernah berada di tempat yang sama dahulu. Buat Amir dan Dobby, saya doakan agar kamu berdua terus kuat di dalam,” katanya lagi.
Siasatan masih berjalan
Malaysiakini semalam melaporkan bahawa polis memperoleh perintah reman selama tiga hari terhadap pasangan itu, yang berakhir pada 25 Sept, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan dana haram.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail berkata kertas siasatan dibuka pada 10 Sept susulan laporan polis berasaskan semakan terhadap penerimaan dana syarikat yang disyaki hasil aktiviti haram antara tahun 2024 hingga 2026.
Dia berkata polis akan menyiasat sesiapa sahaja yang disyaki terlibat, termasuk dalam penyimpanan, pemindahan, penggunaan, penyimpanan deposit atau pengeluaran dana yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti haram.
Ketua polis itu turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sah sementara siasatan dijalankan.
/file/attachments/orphans/KellyMorden1_754098.png)
Pada Mei lalu, Ketua Pemuda PKR, Kamil Abdul Munim menggesa pihak berkuasa menyiasat Mandiri berhubung dakwaan bahawa kumpulan itu menerima dana asing yang bertujuan menggugat politik Malaysia.
Kamil berkata terdapat laporan bahawa Mandiri menerima RM1.5 juta daripada Tides Foundation yang berpangkalan di AS antara November 2024 hingga Jun 2025.
Beberapa pemimpin DAP, termasuk anggota parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, turut mendesak agar Amir dan Chew dibebaskan, dengan menyatakan bahawa penahanan mereka menimbulkan kebimbangan mengenai keperluan dan kadar tindakan yang diambil terhadap mereka.
Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri Semambu daripada PKR, Chan Chun Kang mengingatkan kerajaan agar mengelakkan sebarang persepsi bahawa agensi negeri digunakan untuk menghukum atau menakut-nakutkan penentang.

