Operasi Tasik Bera: Dua lagi disyaki Orang Asli ditahan
Dua lelaki ditahan kerana dipercayai menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas semasa melaksanakan operasi di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera di Bera semalam.
Ketua Polis Daerah Bera Supt Zulkiflee Nazir berkata kejadian berlaku sekitar 1.30 tengah hari semasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama beberapa agensi, antaranya Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan operasi penguatkuasaan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Beliau berkata semasa operasi berkenaan UPNP telah menahan sebuah lori dinaiki dua lelaki dipercayai Orang Asli berumur 27 dan 61 tahun yang disyaki melakukan kesalahan memasuki hutan simpan kekal serta mengambil dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran.
“Pada masa yang sama kedua-dua individu berkenaan enggan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa dan telah menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua lelaki berkenaan direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Zulkiflee berkata lori dan muatan sawit turut disita mengikut Seksyen 88 Akta Perhutanan Negara 1984.
Sebelum ini, polis dilaporkan menahan empat wanita dan seorang lelaki berumur lingkungan 30 hingga 60-an pada 15 Sept lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Media melaporkan penerokaan haram membabitkan kira-kira 7,000 hektar kawasan di hutan simpan kekal berkenaan dipercayai menyebabkan ketirisan hasil kepada Kerajaan Negeri Pahang yang dianggarkan mencecah lebih RM387 juta.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/WhatsAppImage2026-09-16at105725_896676.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.