ULASAN l Kenyataan tujuh halaman Menteri Besar hari ini bercakap panjang tentang adat, Perlembagaan, mandat rakyat dan bidang kuasa.

Tetapi sebelum pergi lebih jauh, Ismail Lasim perlu menjawab perkara paling asas tentang pendiriannya sendiri.

Pada 2 Ogos, beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Sehari kemudian, pada 3 Ogos, beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz.

Namun lebih sebulan selepas tandatangan itu, pada 6 September, Ismail masih menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

Pada 9 September, dia berkata tandatangan pada proklamasi itu dibuat tanpa rela hati dan secara paksaan. Dia juga membuat laporan polis. Kerajaan Negeri ketika itu berpendirian proklamasi tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan.

Pada 10 September, dia bertemu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan isu tersebut.

Pada 15 September, Ismail masih menyatakan bahawa sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan dan persoalan sumber kuasa, syarat serta prosedurnya perlu ditentukan.

Tetapi mesyuarat Exco yang dipengerusikannya pada hari yang sama kemudiannya dikatakan telah membuat keputusan sebulat suara bahawa proklamasi itu sah dan berkuat kuasa.

Pada 16 September, keputusan itu diumumkan dengan Tuanku Muhriz dikatakan telah diturunkan sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Pada 17 September, Ismail sendiri mengesahkan keputusan Exco tersebut dan proses pewartaan telah diminta untuk diteruskan.

Jadi sebelum bercakap tentang perkara lain, Menteri Besar perlu menjawab lima soalan ini:

  • Betulkah anda dipaksa menandatangani proklamasi pada 3 Ogos?

  • Jika benar, siapa yang memaksa anda?

  • Jika pada 6 September anda masih menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz, dan pada 9 September mendakwa proklamasi itu ditandatangani secara paksaan, apa yang berubah sehingga Exco pada 15 September mengambil pendirian bahawa proklamasi itu sah?

  • Apakah yang menyebabkan perubahan pendirian itu? Adakah anda juga dipaksa sepertimana dakwaan anda semasa menandatangani Proklamasi?

  • Jika terdapat tekanan untuk mengubah pendirian anda, siapa yang terlibat dan siapakah yang anda temui dalam tempoh tersebut?

Ini bukan persoalan kecil.

Seorang Menteri Besar telah mendakwa dia dipaksa menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Raja, membuat laporan polis mengenainya dan secara terbuka menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Tidak sampai sepuluh hari kemudian, kerajaan yang dipengerusikannya mengesahkan proklamasi itu dan meminta proses pewartaannya diteruskan.

Apa yang sebenarnya berubah antara 9 dan 15 September?

Perkara asas ini perlu dijelaskan dahulu. Kenyataan tujuh halaman hari ini masih menegaskan bahawa kerajaan tidak menentukan siapa menaiki atau meninggalkan takhta dan perkara tersebut perlu melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa.

Tetapi ia masih tidak menjelaskan perubahan pendirian menteri besar sendiri.

Dato’ Ismail, apa yang sebenarnya berubah?


TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ adalah Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri dan bekas menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.