Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, selepas menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, China Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima khabar duka apabila abang sulungnya Idrus Ibrahim, 84, meninggal dunia.

Dia menyatakan sukar untuk mengungkapkan rasa kehilangan tersebut apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada.

“Hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini.

“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya dalam hantaran di Facebook, petang ini.

Anwar turut menzahirkan terima kasih atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan allahyarham.

“Dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati kami.

“Mohon teman-teman titipkan doa buat Allahyarham Idrus Ibrahim, semoga Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Pesawat yang membawa perdana menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou, Zhejiang pada 4.15 petang waktu tempatan dan dia dijangka tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang malam ini.

Terdahulu hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima, yang turut menampilkan Pavilion Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Global Digital Trade Expo (GDTE) , Hangzhou

Selepas itu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang.

Pada Rabu, Anwar menghadiri majlis pembukaan WorldSkills Shanghai 2026 Ke-48, pertandingan kemahiran teknikal dan vokasional terbesar dan berprestij di dunia yang turut menyaksikan penyertaan 22 anak muda Malaysia dalam 21 bidang kemahiran.

Pertandingan itu menghimpunkan kira-kira 1,400 tenaga profesional muda dari lebih 65 negara dan wilayah.