Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan penyerang yang berusia 14 tahun ketika kejadian daripada pertuduhan membunuh selepas mendapati dia tidak boleh dipertanggungjawabkan secara jenayah kerana tidak sempurna akal ketika melakukan pembunuhan itu.

Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tempoh tidak ditentukan selama diperkenankan Sultan Selangor. Pihak pendakwaan merayu keputusan berkenaan.

Sementara itu, berikut tiga perkara yang perlu diketahui mengenai keputusan tersebut, berserta salinan penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada Rabu:

Penilaian psikiatri terhadap penyerang itu – yang hanya dikenali sebagai “LCH” susulan sekatan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 – membabitkan pemantauan berterusan selama tiga bulan dan lebih 34 sesi temu bual yang dikendalikan pakar psikiatri forensik lantikan mahkamah, Dr Ian Lloyd Anthony.

1: Keadaan mental jarang berlaku, serius

Laporan Anthony setebal 27 halaman turut mengambil kira temu bual dengan keluarga LCH, rekod sekolah dan klinikal, jurnalnya serta bukti forensik lain.

Berdasarkan keterangan Anthony, mahkamah merumuskan LCH menghidap “skizofrenia bermula pada usia terlalu muda” sejak berusia sembilan tahun. Penyakit itu tidak dirawat dan tidak didiagnosis selama lima tahun.

Anthony memberi keterangan bahawa permulaan pada usia muda itu penting kerana bentuk skizofrenia yang jarang berlaku ini terjadi ketika otak masih berkembang, sekali gus menjejaskan dengan serius keupayaan seseorang untuk berfikir.

Katanya, individu yang mengalami skizofrenia ketika dewasa memiliki otak yang sudah berkembang sepenuhnya dan berpeluang lebih baik untuk melawan tekanan daripada gejala halusinasi dan delusi.

Keadaan bertambah buruk apabila penyakit LCH hanya dikenal pasti dan dirawat selepas lima tahun.

Anthony memberi keterangan bahawa psikosis yang tidak dirawat menjadi semakin rumit, semakin mempunyai logik dalamannya sendiri dan semakin sukar dirawat dari semasa ke semasa.

“Justeru, ketika kejadian berlaku, keupayaan kanak-kanak itu menguji realiti sudah terjejas sehingga dunia yang dilihatnya bukanlah dunia yang didiami kita semua.

“Memburukkan lagi keadaan, tempoh lima tahun itu berlaku ketika fasa paling kritikal dalam perkembangan otaknya, iaitu tempoh yang dihabiskannya untuk membina dunianya sendiri yang terasing dan alternatif dan bukannya berkembang secara normal,” tulis hakim.

Penyakit LCH terserlah dalam pelbagai bentuk, termasuk kebimbangan keterlaluan terhadap penampilannya, mengasingkan diri daripada pergaulan sosial, paranoia bahawa dia sentiasa diperhatikan dan dianiaya, obsesi terhadap pembunuh beramai-ramai serta halusinasi pendengaran.

Halusinasi itu termasuk arahan yang didakwa datang daripada Dylan Klebold, seorang daripada pelaku tragedi tembakan di Sekolah Tinggi Columbine pada 1999.

Mahkamah menghuraikan bagaimana penyakit itu akhirnya tertumpu kepada Yap. Sekitar Ogos 2024, LCH mula menaruh perasaan terhadap Yap dan mengikutinya di sekolah serta di dalam talian.

Mahkamah menyatakan mereka tidak pernah bercakap atau berinteraksi dalam kehidupan sebenar sebelum pembunuhan itu. Namun, LCH yakin Yap membalas perasaannya dan mencintainya.

Perasaan LCH beransur-ansur berubah menjadi iri hati, kemarahan dan niat untuk membunuh Yap, khususnya selepas menonton video mengenai pembunuh Jepun, Tatsuya Ichihashi yang membunuh seorang guru warga Britain.

Pada mulanya, dia merancang membunuh Yap pada 20 April 2027, bersempena ulang tahun tragedi Columbine.

Selepas digantung sekolah selama seminggu kerana menyerang dua rakan sekelas, dia bimbang akan dibuang sekolah sebelum sempat melaksanakan rancangannya, lalu mempercepatkannya kepada 14 Okt 2025.

2: Pembunuhan terancang atau bukti delusi?

Untuk berjaya menggunakan pembelaan tidak sempurna akal di sisi undang-undang, pihak pembelaan perlu membuktikan lebih daripada sekadar tertuduh mengalami masalah mental.

Pihak pembelaan juga perlu membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa tertuduh tidak berupaya mengetahui perbuatannya salah dari segi undang-undang atau moral.

Hujah utama pihak pendakwaan adalah tindakan LCH menjejaki Yap selama setahun, selain menghabiskan masa berbulan-bulan mendapatkan pisau dan pakaian replika yang meniru penembak Columbine, menunjukkan dia mampu mengatur, menimbang risiko dan mengubah rancangannya.

Mereka turut berhujah LCH tahu perbuatannya salah kerana menyembunyikan pisau di bawah pakaian seragam sekolah selama kira-kira dua minggu.

Hakim Adlin menolak hujah itu dan menerima penilaian Anthony. Dia memutuskan keupayaan merancang dan melaksanakan sesuatu rancangan tidak dengan sendirinya menunjukkan seseorang itu tahu rancangannya salah.

Dia bersetuju dengan Anthony bahawa rancangan membunuh seorang remaja perempuan yang tidak pernah bercakap dengannya sambil meniru penembak Columbine didorong oleh “sistem delusi” LCH.

“Semua ini bukanlah tingkah laku individu rasional yang bertindak demi kepentingan dirinya.

“Sebaliknya, ia merupakan pelaksanaan skrip rekaan dengan perhatian teliti tetapi diarahkan oleh psikosis, berdasarkan pengenalan diri secara delusi yang ketika itu sudah menguasai keseluruhan kehidupan dalaman kanak-kanak tersebut,” tulis hakim.

Mahkamah turut menerima keterangan Anthony bahawa penjenayah rasional yang menyedari kesalahannya akan merancang kaedah untuk meminimumkan risiko dan mengelakkan diri daripada ditangkap selepas melakukan jenayah.

Tindakan LCH langsung tidak menunjukkan ciri-ciri tersebut.

Mahkamah turut meneliti kemungkinan LCH berpura-pura sakit sebelum merumuskan penyakit itu benar-benar dialaminya.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap jurnal LCH yang mula ditulis enam bulan sebelum kejadian, serta pandangan Anthony bahawa kerumitan bukti dan sistem delusi LCH menjadikannya hampir mustahil untuk dipalsukan.

3: Rawatan berkesan tapi terlambat

Mahkamah turut merujuk keterangan Anthony bahawa keadaan LCH bertambah baik dengan ketara selepas dia diberi ubat antipsikotik.

“(Anthony) memberi keterangan bahawa dalam tempoh tiga minggu selepas rawatan dimulakan, halusinasi terhenti dan delusi mula lenyap, manakala kanak-kanak itu mula berinteraksi secara mesra dengan keluarganya dengan cara yang tidak pernah dilihat selama bertahun-tahun,” tulis hakim.

Hakim berkata perubahan pantas itu hanya selaras dengan penyakit psikotik tulen yang memberikan tindak balas terhadap rawatan.

Pemulihan itu perkembangan baik bagi kesejahteraan LCH, tetapi ia hanya berlaku selepas tanda amaran terlepas pandang selama bertahun-tahun dan satu nyawa terkorban.

Mahkamah menyatakan tanda-tanda tersebut, yang boleh difahami, dianggap sebagai masalah tingkah laku atau disiplin dan bukannya kecemasan perubatan.

“Akibat daripada salah tafsiran itu kini ditanggung dua keluarga,” tulis hakim.

Seorang kaunselor sekolah merujuk LCH untuk mendapatkan terapi swasta selepas menerima aduan mengenai kelewatannya, perbuatannya tidur di dalam kelas dan rambutnya yang panjang. LCH juga marah kerana dipaksa menghadiri sesi terapi.

“Kanak-kanak itu menghadiri empat sesi namun tiada satu pun membuahkan hasil kerana dia kekal berahsia, tidak berminat dan curiga sepanjang sesi, serta menyembunyikan wajahnya di dalam kemeja-T atau di sebalik tapak tangan,” kata mahkamah mengambil maklum perkara itu.

Hakim menutup penghakiman bertulisnya dengan menyatakan bahawa dapatan LCH tidak sempurna akal ketika membunuh Yap tidak mengurangkan tragedi kematian remaja perempuan itu.

Namun, tulisnya, kes tersebut turut menunjukkan sejauh mana penyakit mental serius boleh berkembang dalam diri seorang kanak-kanak tanpa disedari orang di sekelilingnya.

Jika ada kebaikan yang boleh terhasil daripada tragedi itu, katanya, ia diharapkan dapat membantu ibu bapa, pihak sekolah, mahkamah dan orang ramai memahami dengan lebih baik tanda-tanda penyakit mental tidak dirawat dalam kalangan kanak-kanak, “supaya keluarga lain dapat diselamatkan daripada penderitaan yang ditanggung kedua-dua keluarga ini”.