Rais di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, dijangka hadapi tuduhan Akta Hasutan
Pengerusi Wawasan Rais Yatim tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di Melaka dan dijangka bagi menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan.
Dia tiba kira-kira jam 8.40 pagi dengan diiringi isteri, Masnah Muhamat, dan anaknya, Danni Rais yang juga Adun Klawang.
Bekas menteri Umno itu dijangka dituduh di hadapan hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Pada 30 Julai lalu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan dan Darjah Dato' Setia Negeri Sembilan Rais berkuat kuasa serta-merta.
Pendaftar Darjah Moha Zafir Ibrahim dipetik sebagai berkata Tuanku Muhriz menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran daripada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang dikurniakan pada 2001 dan 1979.
Dia dilaporkan sebagai berkata keputusan itu dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan institusi diraja Negeri Sembilan.
Rais pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari 1978 hingga 1982.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/bd15bad7eee6f4dee1541b0ae21b6062.jpg)
