Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon, masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kerana menghina mahkamah.

Keputusan itu dilaporkan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ratanah Devi Yusof Perumal yang mendapati kedua-dua individu terbabit melanggar perintah ex-parte dan ad-interim yang dikeluarkan oleh mahkamah.

"Saya mendapati bahawa walaupun terdapat terma yang jelas dalam perintah ex-parte dan ad-interim tersebut, berlaku pelanggaran yang nyata terhadap terma kedua-dua perintah mahkamah itu," katanya seperti dipetik oleh Free Malaysia Today.

Menurut portal berita itu, Perumal membuat keputusan tersebut pada 18 Sept lalu. Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan butiran khusus mengenai perintah yang dilanggar oleh Tei dan Jontih.

Malaysiakini telah menghubungi peguam Tei, Mahajoth Singh, untuk mendapatkan butiran lanjut.

Pada Jan tahun lalu, SMM memulakan tindakan undang-undang terhadap Tei dan Jontih atas dakwaan "penipuan, pelanggaran kewajipan fidusiari dan kerahsiaan, pengubahan dokumen rasmi, konspirasi untuk mendatangkan mudarat melalui cara yang menyalahi undang-undang, serta kemungkinan pakatan sulit dengan pihak ketiga".

Difahamkan SMM kemudian memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Tei kerana didakwa melanggar perintah mahkamah.