Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima kos ubah suai rumah.

Pertuduhan ke atas Adi Azuan Abdul Ghani itu terkait kos pengubahsuaian sebuah rumah di Bandar Sri Damansara bernilai RM8,882.77. Kesalahan itu didakwa dilakukan sembilan tahun lalu.

Adi Azuan, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Suzana Hussin.

Dia didakwa sebagai penjawat awam iaitu COO agensi melibatkan orang Islam itu untuk menerima bagi pihak dirinya benda berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi iaitu kos pengubahsuaian sebuah rumah di Jalan Tanjung SD 13/4, Bandar Sri Damansara.

Kos itu diterima daripada pengarah AG Reka Sdn Bhd, Thamsulazri Ismail, yang diketahui Adi Azuan ada kena-mengena dalam urusan yang dijalankan olehnya.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kediaman berkenaan pada 7 Mac 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras memaklumkan kepada mahkamah, Adi Azuan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam mengikut seksyen serupa.

Katanya pihak pendakwaan memohon supaya jaminan RM50,000 dan syarat jaminan di mahkamah berkenaan diguna pakai untuk kes ini.

“Semalam, mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya, tidak mengganggu saksi pendakwaan selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Mahkamah Sesyen Shah Alam juga telah menetapkan 25 Nov untuk sebutan kes.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya kes di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan secara bersama kerana ia melibatkan saksi dan kertas siasatan sama,” katanya.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Adi Azuan berkata pihaknya tidak membantah permohonan pendakwaan.

“Saya sahkan tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan. Oleh itu, mohon mahkamah mengguna pakai jaminan dan syarat jaminan di mahkamah berkenaan untuk kes ini,” katanya.

Suzana kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan.