Badan Peguam cabar pengampunan Najib, tahanan rumah
Ini cabaran kedua Badan Peguam berhubung pengampunan Najib.
Badan Peguam Malaysia berhasrat mencabar pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak dengan berhujah bahawa tiada peruntukan undang-undang sedia ada bagi mekanisme tahanan rumah di Malaysia.
Cabaran itu merupakan tindakan kedua seumpamanya oleh Badan Peguam berhubung pengampunan Najib.
Sebelum ini, badan profesion undang-undang itu memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Januari 2024 untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib.
Mahkamah Rayuan dijadualkan menyampaikan keputusan pada 27 Jan tahun depan berhubung rayuan Badan Peguam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan memberikan kebenaran untuk mencabar pengampunan pertama itu.
Presidennya, Anand Raj, mengesahkan bahawa Badan Peguam akan turut mencabar pengampunan bersyarat terbaharu berkenaan di mahkamah.
“Badan Peguam Malaysia, melalui peguam caranya, akan mencabar keputusan dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan kedua, sementara meneruskan rayuannya berhubung keputusan dan nasihat Lembaga Pengampunan mengenai pengampunan pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai sebahagian daripada pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 Sept, bekas presiden Umno itu perlu membayar denda RM50 juta sebelum dibenarkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Pengurangan hukuman dan denda serta pengampunan bersyarat itu berkaitan sabitan Najib atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta milik SRC International.
Bekas perdana menteri itu juga sedang merayu terhadap sabitan dan hukumannya atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Anand berkata berdasarkan penyelidikan Badan Peguam setakat ini, tiada prosedur operasi standard atau garis panduan bagi tahanan rumah.
Katanya, “satu ekosistem peraturan dan prosedur yang sama sekali baru” diperlukan untuk melaksanakan mekanisme sedemikian.
Selain memetik kenyataan terbaharu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan ketiadaan peruntukan tersebut, Anand turut menolak rujukan kepada kes Kenneth Lee Fook Mun, yang didakwa diberikan tahanan rumah melalui pengampunan diraja.
“(Kes Lee) tidak menjadi autoriti undang-undang atau justifikasi untuk mengatakan bahawa Malaysia mempunyai kerangka undang-undang ‘tahanan rumah’ yang formal. Tidak jelas sama ada kes itu timbul melalui keputusan Lembaga Pengampunan atau menerusi pelepasan secara lesen oleh ketua pengarah penjara di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995.
“Kes itu juga nampaknya tidak pernah diuji di mahkamah atau mendapat pengesahan kehakiman. Oleh itu, ia tidak menjadi duluan undang-undang bagi pemberian tahanan rumah,” kata Anand.
Pada Januari tahun lalu, peguam Najib, Shafee Abdullah, berkata dalam satu siar audio bahawa dia pernah mewakili Lee, cucu kepada menteri kewangan pertama Malaysia, Henry Lee Hau Shik.
Menurut Shafee, Lee kemudiannya dibenarkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah selepas disabitkan dalam kes bunuh.
Persoal kutipan dana Umno
Anand turut mempersoalkan kempen derma yang dilancarkan Umno untuk mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta Najib.
“Memandangkan RM114,164,393.44 yang dilaporkan telah dipulangkan sebelum ini kepada wakil Najib, tidak jelas mengapa Umno perlu mengumpul dana daripada orang ramai. Kutipan dana awam sedemikian juga mungkin membabitkan pertimbangan undang-undang lain,” katanya.
Jumlah RM114 juta itu merujuk wang tunai yang disita dalam serbuan pada 2018 sebelum diperintahkan supaya dipulangkan selepas pihak pendakwaan gagal melucutkan hak wang berkenaan menerusi saman pelucuthakan berkaitan 1MDB.
Menurut Anand, turut “tidak jelas” mengapa Najib mendakwa kebanyakan asetnya dibekukan, sedangkan nilai aset yang disita sebelum ini dan dipulangkan didakwanya “lebih daripada mencukupi” untuk membayar denda RM50 juta tanpa memerlukan kutipan dana awam.
“Mungkin terdapat aset lain (yang tidak disita sekitar Mei 2018) yang mungkin dibekukan, tetapi perkara ini tidak jelas dan tiada butiran mengenainya didedahkan kepada umum,” kata Anand.
Dia seterusnya berkata Badan Peguam menyokong kenyataan bersama yang dikeluarkan sebelum ini oleh pertubuhan masyarakat sivil dan beberapa individu, termasuk bekas pemimpin Bersih Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah.
Selain menggesa Lembaga Pengampunan dan Jabatan Perdana Menteri menyahklasifikasi serta menerbitkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membawa kepada pengampunan pertama dan kedua Najib, Badan Peguam turut menuntut semua syarat tahanan rumah Najib didedahkan sepenuhnya.
Menurut Anand, perkara itu termasuk protokol pemantauan, pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguatkuasakan syarat berkenaan dan kos tambahan kepada pembayar cukai sekiranya tahanan rumah itu dilaksanakan.
/file/attachments/orphans/najib23121_480507.png)
