Seorang pekebun dan peniaga produk pertanian mengalami kerugian lebih RM1.15 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan cinta (love scam).

Pemangku Ketua Polis Pahang Azry Akmar Ayob berkata, wanita berusia 50 tahun itu berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai Siew Gui Lim atau Jason melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Julai sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.

“Suspek kemudian menyamar sebagai pengarah perunding keselamatan siber dan menawarkan pelaburan emas dengan menjanjikan keuntungan kepada mangsa.

“Selepas mangsa membuat bayaran berkaitan pelaburan berkenaan, suspek memperkenalkan pula satu platform bernama Veniec Lottery yang didakwa sebagai usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azry Akmar berkata mangsa kemudian dipujuk membuat beberapa deposit bagi mendapatkan keuntungan dan bonus, sebelum melakukan pelbagai transaksi ke tujuh akaun bank berjumlah RM1,150,034.70 membabitkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengeluarkan wang berkenaan sebelum menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Tambah Azry Akmar, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis juga, katanya, menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan individu yang menggunakan hubungan persahabatan atau hubungan istimewa untuk memujuk mangsa membuat pelaburan atau menyerahkan wang.

Dia berkata orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule, sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau membuat laporan polis,” katanya.

- Bernama