Kutipan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu bekas Perdana Menteri itu membayar denda yang merupakan syarat untuknya menjalani tahanan rumah kini melepasi angka RM9 juta.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga jam 10 pagi tadi tabung berkenaan merekodkan kutipan sebanyak RM9.25 juta.

"Setakat jam 10 pagi tadi mengutip RM9.25 juta dan ini masih belum mencukupi untuk kita mencapai angka RM50 juta.

"Usaha-usaha sedang kita lakukan mencukupkan tabung itu dan kita harap rakan-rakan kita dapat membantu kita," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpu, hari ini.

Pada 18 Sep lalu, Umno melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu meringankan beban bekas Presiden Umno itu.

Zahid berkata, parti itu berharap seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela.

Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Dana RM50 juta itu diperlukan Najib sebagai salah satu syarat susulan pengampunan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang sekali gus membolehkan bekas presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bekas ahli parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM42 juta milik SRC International.