Penunjuk perasaan tuntut Anwar siasat ‘mafia korporat’
Kumpulan masyarakat sivil yang berhimpun di luar Kompleks Beli-belah Sogo, Kuala Lumpur hari ini mempersoalkan tindakan pihak berkuasa terhadap aktivis Amir Hariri Abdul Hadi dan Dobby Chew, sedangkan dakwaan berhubung skandal “mafia korporat” menurut mereka masih belum ditangani.
Berhimpun dengan slogan #RCINOW dan #HentiBungkamNGO, kira-kira 100 aktivis dan penyokong mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengambil mudah sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang. Perhimpunan itu diadakan dua hari selepas Amir dan Chew dibebaskan daripada tahanan.
Pada akhir perhimpunan yang bersurai secara aman selepas kira-kira dua jam, penganjur mengemukakan tiga tuntutan utama: penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan hubungan antara “mafia korporat” dengan pegawai penguat kuasa; menghentikan apa yang mereka sifatkan sebagai “keadilan dua darjat”; dan menghentikan penggunaan undang-undang terhadap aktivis.
Kontroversi “mafia korporat” berpunca daripada siasatan Bloomberg yang mendakwa rangkaian ahli perniagaan bekerjasama dengan pegawai SPRM untuk menyasarkan syarikat, menyingkirkan eksekutif dan mengambil alih kawalan perniagaan.
/file/attachments/orphans/image1_750746.jpeg)
Penunjuk perasaan berhujah, Amir (gambar atas) dan Chew disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), termasuk pembekuan akaun, tetapi dakwaan “mafia korporat” tidak ditangani dengan kesegeraan yang sama.
Dalam ucapannya, pengarah Mandiri Amir berkata persoalan yang menyelubungi bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki bukan isu baharu.
“Bulan April anjurkan demo Tangkap Azam Baki. Dua kali kita anjurkan…bukan isu baru.
"Anwar Ibrahim pernah turun ke jalan…tapi apabila mereka menjadi kerajaan, mereka sambung kontrak dia tiga kali.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/02/08ba58fc15156db421b3f2683f26ef2f.jpg)
"Dari awal kita sebut, ‘we didn’t invent anything’. Perkara tentang Azam Baki itu sama,” katanya.
Amir menegaskan tindakan terhadap Mandiri dan Hayat berkait dengan bantahan mereka berhubung dakwaan “mafia korporat” itu.
Dia turut memberi amaran tindakan terhadap masyarakat sivil boleh menjadi duluan yang berlanjutan selepas kerajaan sekarang.
“Mereka boleh buat sekarang, tapi kamu belum tentu kekal jadi kerajaan…sets precedent,” katanya.
/file/attachments/orphans/image12_939236.jpeg)
"Yang kempen lawan rasuah dulu kamu. Yang bawa rakyat turun ke jalan dulu kamu,” tegasnya, dengan karikatur kadbod yang mempersendakan Anwar dan Azam kelihatan di belakangnya.
Selain peruntukan antipengubahan wang haram, penunjuk perasaan mengkritik penggunaan Akta Hasutan, Sosma, Akta Komunikasi dan Multimedia serta peruntukan Kanun Keseksaan terhadap aktivis.
Setiausaha Agung Muda Ainie Haziqah Shafii turut memberi amaran kerajaan berisiko menjauhkan mereka yang pernah menyokong tuntutan reformasi.
“Hari ini, mereka juga yang menangkap rakan-rakan aktivis dan mahasiswa yang bersuara menentang kerajaan.
/file/attachments/orphans/image11_740531.jpeg)
“Kalau mereka mahu mempertahankan koruptor dan pesalah ini, kita lawan.
“Saya yakin selepas hari ini, akan ada yang dipanggil kerana tidak suka dengan seruan kami,” katanya.
Ainie turut melaungkan: “Kalau hari ini kita naikkan mereka, esok kita jatuhkan mereka!”
Amir turut menggesa kerajaan berhenti menyasarkan masyarakat sivil.
/file/attachments/orphans/image7_298587.jpeg)
“Hentikan apa yang kamu lakukan kepada masyarakat sivil…Kami tak bertanding pilihanraya…Kami cakap benda yang sama dari dulu..
Kami sokong kamu dulu kerana kami percaya pada perubahan,” tegasnya.
Chew (gambar atas) pula berkata dia masih optimis walaupun kecewa dengan keadaan politik.
“Kita sudah letih dengan semua wayang ini. Tetapi saya masih optimis. Saya percaya, dalam kalangan parti politik, masih ada yang menyokong gerakan rakyat,” katanya.
/file/attachments/orphans/image9_508461.jpeg)
Selain pertubuhan masyarakat sivil, Chew, yang juga anggota Muda, menghargai sokongan partinya serta Bersama, PSM dan Parti Bangsa Malaysia menerusi bekas ADUN DAP Ronnie Liu.
Ahli Parlimen Subang Wong Chen, yang meninggalkan PKR untuk menyertai Bersama, berkata dia sebelum ini membantu Mandiri melobi kesemua 222 Ahli Parlimen supaya menyokong petisyen rasmi menuntut RCI berhubung “mafia korporat”. Setakat ini, petisyen itu menerima 50 tandatangan.
Turut kelihatan ialah Naib Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Raja Ahmad Iskandar Fareez. Katanya, dia mengambil maklum kritikan terhadap parti kerajaan, khususnya PH dan menggesa pemimpin kanan mendengar tuntutan rakyat untuk reformasi.
/file/attachments/orphans/image2_653035.jpeg)
