Susulan tindakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai pendirian DAP terhadap pengampunan bersyarat Najib Razak, seorang pemimpin parti itu menyatakan tiada keperluan untuk sesiapa bersikap emosional terhadap pengampunan yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

"Yang lebih penting dalam soal kerajaan adalah soal delivery, maknanya (tak ada) apa-apa kaitan ataupun (keperluan) kita nak marah kita nak merajuk dengan soal pengampunan ni.

"Yang penting kita nak deliver apa? Apa kaitan kita, apa-apa kesan kita, dan mengapa kita harus melemahkan kerajaan?" kata Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari, dalam program podcast Explain Sikit terbitan KiniTV.

Turut hadir dalam program bual bicara itu ialah peguam veteran, Haniff Khatri.

Aziz, yang juga bekas ahli akademik, menegaskan bahawa peletakan jawatan Loke boleh membawa kesan negatif kepada kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH), memandangkan rekod prestasi cemerlang Setiausaha Agung DAP itu sebagai menteri.

"Saya melihat kuasa (pengampunan) itu telah pun dilaksanakan mengikut sebagaimana sepatutnya yang telah pun dinyatakan oleh Perlembagaan. Tak ada isu di situ.

"Jadi tindakan politik ni (meletakkan jawatan) satu benda yang lain pada saya, yang boleh kata tak ada kena mengena.

"Itu tindakan politiklah. Itu mungkin itu tindakan yang dirasakan sesuai ataupun boleh menangani sentimen penyokong-penyokong dia, saya tak tahu. Tapi maknanya pada saya itu dua benda tak berkaitan.

"Maknanya dia tak perlu ambil tindakan (letak jawatan) seperti itu pada saya," kata Aziz.

Podcast Explain Sikit, Kini! Guest: Haniff Khatri & Aziz Bari, Host Mastura Malak & Hariz Mohd 20260923

Pada 18 September, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan bekas ahli parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Keesokan harinya, Loke mengumumkan dia akan meletak jawatan daripada kabinet susulan pengampunan bersyarat itu, manakala anggota kabinet DAP yang lain akan kekal memegang jawatan mereka "bagi memastikan kestabilan kerajaan".

Sementara itu, Haniff mengkritik DAP dan PH kerana menyatakan bantahan terhadap pengampunan Najib pada masa ini, sedangkan mereka sepatutnya boleh menghalangnya.

Sebagai contoh, Haniff menyatakan bahawa gabungan pemerintah mempunyai kuasa untuk sekurang-kurangnya membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi mengehadkan prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu.

Dia juga menyuarakan pandangan yang sama dengan Aziz mengenai peletakan jawatan Loke, dengan mempersoalkan kaitan pengampunan bersyarat Najib dengan kedudukan Ahli Parlimen Seremban itu dalam kabinet.

Haniff berkata prerogatif Agong untuk memberikan pengampunan adalah sesuatu yang berasingan dan mengatasi proses kehakiman, yang telah pun selesai sepenuhnya dalam kes SRC International membabitkan Najib.

Walaupun bersetuju dengan pandangan Aziz bahawa peletakan jawatan Loke didorong oleh faktor politik, peguam veteran itu mengkritik DAP atas apa yang disifatkannya sebagai respons yang "tidak ikhlas", sambil mempersoalkan mengapa hanya Loke yang meletak jawatan sedangkan anggota kabinet parti itu yang lain kekal memegang jawatan.

Dia turut secara khusus menyebut tentang Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang pernah membuat ikrar berkaitan isu pengampunan Najib sebelum ini.

"Persoalannya di sini bukan sama ada peletakan jawatannya itu relevan atau tidak. Loke sendiri yang menawarkan diri untuk meletak jawatan, dan apabila seseorang menawarkan diri untuk berbuat demikian, mengapa hanya seorang? Mengapa tidak semua sekali?

"Tambahan pula, Nga juga merupakan individu yang pernah berjanji untuk meletak jawatan.

"Perkara ini penting bagi saya. Ia bukan soal DAP, MIC atau MCA. Ia mengenai tadbir urus yang baik dan politik yang matang. Anda telah berjanji, jadi anda mesti melaksanakannya," kata Haniff.

Haniff merujuk kepada kenyataan Nga pada bulan Jun, ketia Nga memberi amaran bahawa kemenangan besar Umno dalam pilihan raya negeri Johor boleh membawa kepada pembebasan awal Najib dan, sekiranya itu berlaku, dia akan menjadi orang pertama yang meletakkan jawatan daripada kabinet.