Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap ibu Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, atas kesalahan pengabaian kanak-kanak.

Hakim Noor Hisham Ismail memutuskan bahawa Ismanira dihukum atas kecuaiannya sendiri, dan bukannya atas kesalahan yang dilakukan oleh pihak ketiga.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati tiada kesilapan yang mewajarkan rayuan terhadap keputusan mahkamah rendah, setelah meneliti rekod rayuan serta hujah bertulis dan lisan kedua-dua pihak secara menyeluruh.

Noor Hisham mendapati elemen pengabaian kanak-kanak di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 adalah jelas, begitu juga dengan bentuk pengabaian yang diperincikan dalam pertuduhan.

“Tertuduh tidak mungkin terkeliru (oleh penggunaan perkataan yang mengelirukan dalam pertuduhan). Oleh itu, tiada kegagalan keadilan dalam hal ini,” katanya.

Noor Hisham, merujuk kepada frasa “boleh menyebabkan kecederaan fizikal” di bawah Seksyen 31, menyatakan bahawa perkataan tersebut menjelaskan sifat pengabaian itu, bukannya kesan atau akibatnya.

Sehubungan itu, hakim menyatakan pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan berlakunya kecederaan sebenar atau hubungan sebab-akibat secara langsung.

“Perkataan ‘mungkin’ (may) memerlukan risiko yang sebenar atau ketara, yang dinilai secara objektif, dan bukannya sekadar kemungkinan secara teori.

“Walaupun mahkamah rendah mungkin tersilap dengan menganggap unsur ‘menyebabkan’ (causation) sebagai satu elemen kesalahan, mahkamah ini berpendapat bahawa pendekatan sedemikian tidak menjejaskan sabitan tersebut,” katanya semasa menolak rayuan Ismanira terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.

Hakim turut menolak rayuan balas pihak pendakwaan untuk menyemak semula hukuman penjara Ismanira.

Ismanira, 31, didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta tersebut, atas tuduhan mengabaikan Zayn dari 5 hingga 6 Disember 2023, sehingga perbuatan itu mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak berkenaan.

Pada mulanya, dia didakwa bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari. Walau bagaimanapun, Zaim dilepaskan dan dibebaskan pada 21 Julai tahun lalu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Zayn, kanak-kanak autistik berusia enam tahun, dilaporkan hilang pada 5 Disember dua tahun lalu dan ditemui mati berhampiran sebatang anak sungai berhampiran rumahnya pada keesokan harinya, dengan kesan kecederaan ditemui pada leher dan tubuhnya.

Hasil bedah siasat menunjukkan bahawa dia telah dibunuh.

Ismanira disabitkan kesalahan pada 31 Oktober tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun. Dia mula menjalani hukuman penjara serta-merta selepas Hakim Syahliza Warnoh menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Hakim juga memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000, serta menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam.