Ruang media sosial hari ini diselubungi suasana hiba apabila rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, pagi ini.

Nama Allahyarham menjadi antara topik paling trending di platform X, Facebook, Instagram, Threads dan TikTok, dengan golongan kenamaan, selebriti dan warganet berkongsi gambar, rakaman video serta kenangan manis bersama.

Penyanyi tersohor tanah air, Biduanita Negara Siti Nurhaliza Tarudin, menerusi hantaran di Instagram menyifatkan pemergian Siti Hasmah sebagai satu kehilangan besar buat negara memandangkan jasa dan sumbangan Allahyarham yang begitu banyak sepanjang hayatnya.

"Allahyarham ialah seorang tokoh wanita yang sangat penyayang, lemah lembut dan mempunyai sifat keibuan yang tinggi," katanya yang turut mendoakan agar Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa.

Turut berkongsi kenangan di platform Threads ialah pelakon Dynas Mokhtar dan Aeril Zafrel yang tidak menyangka pertemuan mereka dengan

Allahyarham baru-baru ini menjadi kenangan terakhir.

"Saya diberi peluang duduk semeja dengan Siti Hasmah beberapa hari lalu. Tak sangka pertemuan itu menjadi pertemuan terakhir dan kenangan yang begitu berharga buat saya. Saya akan sentiasa ingat kelembutan dan kemesraan Tun," kata Aeril.

Sementara itu, pengacara dan penyanyi Alif Satar serta pelakon Mimi Lana turut menzahirkan ucapan takziah buat Mahathir sekeluarga, selain menghargai khidmat serta teladan yang ditinggalkan oleh Siti Hasmah.

Di platform X, pengguna akaun @AlyaAdora menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang bukan sekadar isteri kepada pemimpin negara, malah juga seorang wanita berpendidikan, mempunyai identiti hebat dan peranan tersendiri yang sentiasa setia berdiri di samping suami.

Bagi pengguna akaun @KubiQupz pula, beliau menyifatkan hari ini sebagai hari yang menyedihkan buat Malaysia atas kehilangan seorang wanita luar biasa yang banyak menabur jasa buat negara.

Sementara itu, rata-rata netizen merentas generasi menyifatkan sumbangan Allahyarham bukan sahaja terserlah sebagai isteri kepada bekas perdana menteri, malah peranannya dalam bidang perubatan dan kesihatan masyarakat akan sentiasa dikenang.

Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Allahyarham akan diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20, Putrajaya.

Turut memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Dr Hasmah adalah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 2.10 petang diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan isteri Datin Seri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin; serta Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Mereka yang lain termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Tokoh Wartawan Negara Abdul Kadir Jasin, Biduanita Negara Siti Nurhaliza dan suami Khalid Mohamad Jiwa; artis Dave, Rais Yatim dan ahli perniagaan Vincent Tan.

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas itu menyifatkan pemergian Dr Hasmah sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya kepada golongan wanita dan ahli Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Ahmad Zahid berkata beliau bersama-sama isteri Hamidah Khamis sempat menziarahi Allahyarham di kediamannya Isnin lepas.

Beliau berkata pertemuan itu turut menjadi ruang buat isteri beliau bersama-sama Allahyarham, yang juga anggota Bakti, mengenang kembali pelbagai kisah dan pengalaman lama.

"Yang diceritakan oleh isteri saya, beliau (Dr Hasmah) banyak bercerita mengenai alam baqa, Padang Mahsyar seolah-olah mengetahui akan pergi buat selama-lamanya.

"Tentu kami merasakan kehilangan yang teramat, kerana Allahyarham telah banyak menabur jasa, terutama dalam kalangan wanita dan ahli-ahli Bakti," katanya.

Turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga atas pemergian Dr Hasmah adalah anggota jemaah menteri.

Antara mereka, termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menerusi hantaran di Facebook menyifatkan Dr Hasmah sebagai seorang wanita yang berdiri teguh di belakang seorang tokoh, menemani setiap langkah, perjuangan serta jatuh dan bangun dalam diam yang penuh pengorbanan.

“Beliau menjadi tunjang kekuatan di sisi Tun Dr Mahathir. Kini, setelah sekian lama berjalan bersama, satu perjalanan itu terpaksa diteruskan tanpa insan yang selama ini sentiasa berada di sisi.

“Takziah buat Tun Dr Mahathir dan keluarga. Semoga Tun Dr Mahathir dan keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Allahyarham merupakan tokoh wanita dan tokoh perubatan yang disegani kerana menabur bakti selama puluhan tahun kepada pembangunan kesihatan negara.

Berucap di Ipoh, Perak, hari ini, Dzulkefly berkata Allahyarham merupakan perintis dalam pembangunan kesihatan awam, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak, kesihatan keluarga serta kebajikan masyarakat.

"Sebagai seorang tokoh doktor dan tokoh wanita yang telah banyak menabur bakti selama puluhan tahun, sumbangan Allahyarham kepada profesion perubatan, kesihatan awam dan pembangunan masyarakat pasti akan terus dikenang sepanjang zaman.

"Bagi seluruh warga Kementerian Kesihatan, saya menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya atas segala jasa dan khidmat bakti Tun Dr Siti Hasmah kepada negara," kata beliau dalam nada sebak.

Bagi Menteri Pendidikan Seri Fadhlina Sidek, jasa Allahyarham dalam bidang kesihatan dan kebajikan masyarakat akan terus dikenang.

“Takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah atas pemergian beliau. Negara kehilangan sosok wanita yang menjadi inspirasi kepada ramai wanita di Malaysia,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail juga mengucapkan takziah kepada Dr Mahathir dan keluarga serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan insan yang begitu disayangi.

“Saya amat berdukacita menerima khabar pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali. Seorang wanita yang cukup saya hormati. Lembut tutur katanya, sederhana peribadinya dan sentiasa menyenangkan sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya,” katanya.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala khilaf Allahyarham, menerima segala amal baktinya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Malaysia kehilangan tokoh negara yang telah menabur bakti sepanjang hayatnya, bukan sahaja sebagai isteri kepada Mahathir tetapi sebagai seorang tokoh dalam haknya sendiri.

“Malaysia akan sentiasa terhutang budi atas khidmat, pengorbanan dan kasih beliau kepada negara. Legasi Tun Dr Siti Hasmah akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Tidak ketinggalan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu turut menyifatkan Dr Hasmah sebagai seorang yang sentiasa tenang dan sederhana dalam penampilan.

Beliau berkata Dr Hasmah melalui perjalanan yang panjang bersama Dr Mahathir, mendampingi beliau dalam pelbagai fasa kehidupan termasuk ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang berada dalam dunia politik dan pentadbiran negara.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri turut menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir, anak-anak serta seluruh ahli keluarga.

Nancy berkata beliau berkesempatan bersama dengan Dr Hasmah pada Sambutan Hari Wanita Kebangsaan anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) awal bulan ini dan menyaksikan Allahyarham bermain biola pada majlis berkenaan.

“Pada usia 100 tahun, Tun Siti Hasmah masih hadir bersama kami dan kenangan itu akan terus saya simpan,” katanya.

Beliau berkata sepanjang hidupnya, Dr Hasmah sentiasa berada di sisi Dr Mahathir melalui pelbagai detik dalam kehidupan dan perjuangan, selain Allahyarham sendiri banyak berjasa sebagai seorang doktor yang mengambil berat kesihatan masyarakat, membawa suara wanita dan memperjuangkan kesejahteraan keluarga.

“Julai lepas, Allahyarham menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, dua hari selepas Tun Dr Mahathir menyambut ulang tahun ke-101. Pada Ogos, mereka meraikan ulang tahun ke-70 perkahwinan. Kisah mereka mengingatkan saya tentang kasih sayang dan kekuatan untuk terus bersama-sama dalam susah dan senang.

“Tun Siti Hasmah meninggalkan teladan yang besar. Beliau menjadi sumber kekuatan kepada keluarga dan pada masa yang sama terus memberi bakti kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook turut menzahirkan ucapan takziah dan menyifatkan Dr Hasmah sebagai seorang insan yang penyayang dan amat disenangi.

“Pengalaman saya berinteraksi secara dekat dengan beliau ketika pentadbiran Dr Mahathir dari 2018 hingga 2020 sebagai sesuatu yang sangat bernilai.

“Beliau telah melalui begitu banyak fasa penting dalam perjalanan negara kita dengan ketenangan, kesederhanaan dan kewibawaan yang sentiasa dihormati oleh rakyat Malaysia. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan yang besar ini,” katanya.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Saya mengenali Tun Dr Siti Hasmah sebagai seorang yang sentiasa tenang dan sederhana dalam penampilan.

“Tun (Dr Mahathir), saya mendoakan semoga Tun dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan insan yang begitu dekat di hati. Semoga Allah SWT mengampuni segala khilaf Allahyarham, merahmati rohnya dan menempatkannya bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Bagi Menteri Digital Gobind Singh Deo pemergian Dr Siti Hasmah meninggalkan seabad legasi jasa, ilmu serta kasih sayang yang dicurahkan kepada keluarga, masyarakat dan tanah air, yang akan terus dikenang dan dimartabatkan generasi akan datang.

Antara lain yang turut merakamkan ucapan takziah ialah Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup serta Menteri Belia dan Sukan Mohammed Taufiq Johari.

- Bernama