Hasmah-Mahathir: I love you yang mengikat cinta tujuh dekad
Tarikh 23 April 1949 menjadi antara detik paling bermakna dalam perjalanan hidup Mahathir Mohamad apabila tiga perkataan ringkas, "I Love You" menjadi titik mula sebuah kisah cinta yang bertahan lebih tujuh dekad bersama dengan Siti Hasmah Mohd Ali.
Ketika itu, Dr Mahathir dan Dr Hasmah atau lebih dikenali sebagai Dr Siti Hasmah, masih menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura dan baru pulang menonton wayang sebelum berjalan perlahan menuju ke asrama mereka di Holne Chase.
Dalam perjalanan itu, Dr Mahathir memberitahu Dr Siti Hasmah bahawa beliau ingin menyatakan sesuatu, sebelum mengeja satu demi satu perkataan "I Love You" atau aku cinta kepadamu itu kepada wanita yang kemudian menjadi teman hidupnya.
/file/attachments/orphans/drm_535739.png)
Kisah yang dirakam dalam buku Siti Hasmah: Citra Wanita Dua Zaman itu menjadi permulaan hubungan yang akhirnya membawa mereka ke jenjang perkahwinan pada 4 Ogos 1956.
Hari ini, selepas 70 tahun melayari kehidupan sebagai suami isteri, hanya kematian memisahkan pasangan yang begitu sinonim dalam kehidupan masyarakat Malaysia itu apabila Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.
Pemergian Dr Siti Hasmah pastinya meninggalkan kesan paling mendalam kepada Dr Mahathir kerana beliau bukan sekadar kehilangan seorang isteri, tetapi teman yang berada di sisinya sejak zaman mereka bergelar pelajar perubatan, membina keluarga, mengharungi kerjaya sebagai doktor sehingga melalui perjalanan panjang kehidupan awam dan politiknya.
Lima tahun lepas, Dr Mahathir pernah mengungkapkan betapa bertuahnya beliau kerana sentiasa ditemani Dr Siti Hasmah dalam mengharungi jatuh bangun kehidupan mereka.
"Saya bertuah kerana ada Hasmah bersama-sama saya sepanjang 63 tahun tidak kira naik atau jatuh. Beliau seorang doktor dan tentunya ia bonus kerana pada usia sekarang, saya mempunyai seorang doktor di sisi saya sepanjang masa," kata Dr Mahathir ketika berucap pada majlis My Voice My Nation pada 2021.
/file/attachments/orphans/fasdasdasd_984472.png)
Pertemuan mereka bermula apabila kedua-duanya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura pada 1947, dengan Dr Mahathir turut membantu Dr Siti Hasmah dalam pelajaran termasuk subjek Fizik, sebelum persahabatan itu berkembang menjadi hubungan istimewa.
Selepas berkahwin, Dr Siti Hasmah berpindah ke Alor Setar mengikuti suaminya dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar, sekali gus memulakan kehidupan baharu sebagai isteri, ibu dan doktor.
Apabila Dr Mahathir mula mengorak langkah dalam politik, Dr Siti Hasmah terus berada di sisinya, menemani beliau dalam pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi sepanjang perjalanan panjang suaminya sebagai pemimpin negara.
Namun, beliau memilih untuk tidak mencampuri urusan politik suaminya, sebaliknya melihat peranannya sebagai rakan kongsi dan penyokong dalam mengharungi kehidupan bersama.
Hubungan pasangan itu juga sering mencuri perhatian masyarakat, terutama apabila mereka dilihat berpegangan tangan, bergurau senda dan meluangkan masa bersama meskipun usia masing-masing sudah lanjut.
/file/attachments/orphans/mahathir_181681.png)
Pada 2019, Dr Mahathir pernah berkongsi gambar mereka keluar bersama di Kuala Lumpur dengan kapsyen ringkas, “Sekali sekala bawa Hasmah dating di KL,” yang mengundang pelbagai reaksi masyarakat terhadap kemesraan pasangan itu.
Hasil perkahwinan dua insan hebat ini, mereka dikurniakan empat anak, Marina, Mokhzani, Mirzan, Mukhriz, selain tiga anak angkat, iaitu Maizura, Mazhar dan Melinda.
Jika selama ini ungkapan “di mana ada Dr Mahathir, di situ ada Dr Siti Hasmah” menggambarkan betapa rapatnya kedua-duanya, hari ini susuk yang sentiasa berada di sisi bekas perdana menteri itu pergi buat selama-lamanya.
Namun kini, Dr Mahathir pastinya menyimpan memori cinta paling manis selama 70 tahun sehingga akhir hayatnya, seperti indahnya bunga orkid yang dinamakan mengambil sempena nama mereka berdua oleh kerajaan Singapura – Dendrobium Mahathir Siti Hasmah.
- Bernama
/file/1142/82b83621b62b9abe8e5d504e75530c46.jpeg)
