Ribuan jemaah memenuhi Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah di Kuala Lumpur petang ini, bagi menunaikan solat jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang diadakan sebanyak dua kali, dengan kehadiran jemaah hingga ke luar ruang solat masjid.

Solat jenazah pertama yang diadakan selepas solat Asar itu diimamkan Imam Masjid As-Syarif, Muhammad Danial Hussain yang dipenuhi ribuan jemaah, sebelum solat jenazah kali kedua diadakan bagi memberi peluang kepada jemaah yang lain juga, untuk bersama-sama mendoakan Allahyarham.

Antara yang menunaikan solat jenazah ialah suami Allahyarham bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta menteri-menteri Kabinet.

Turut bersama-sama dalam saf ialah anak-anak serta ahli keluarga Allahyarham, serta dua lagi bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob selain anggota-anggota parlimen, tokoh korporat dan orang awam daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Tinjauan Bernama mendapati ruang utama masjid dipenuhi jemaah sehingga sebahagian daripada mereka membentuk saf di kawasan luar masjid untuk bersama-sama menunaikan solat jenazah.

Orang ramai mula berkumpul di pekarangan masjid sejak tengah hari bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Dr Siti Hasmah, dengan wakil perwakilan asing serta masyarakat bukan Islam turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama-sama isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Dr Siti Hasmah, sebelum meninggalkan masjid.

Selesai urusan solat jenazah, jenazah Allahyarham dibawa keluar dari masjid untuk dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya bagi istiadat pengebumian.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini, pada usia 100 tahun.

- Bernama