Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain mengenang Dr Hasmah Mohamad Ali sebagai seorang yang mempunyai sifat keibuan.

Shuhaily, yang pernah berkhidmat di Bukit Aman, berkata Dr Hasmah sering bertanyakan keadaan anggota keselamatan selepas mereka selesai menjalankan tugasan.

“Setiap kali selesai tugasan, dia akan tanya kami sudah makan atau belum dan sama ada kami mendapat rehat yang cukup.

“Bagi kami yang terlibat dalam kawalan keselamatan, dia seperti seorang ibu kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Dr Hasmah hari ini.

Shuhaily turut berkongsi kenangan istimewa apabila pernah meraikan hari lahir bersama Dr Hasmah ketika menjalankan tugasan di Baltimore, Amerika Syarikat sekitar 2012 atau 2013.

Menurutnya, Dr Hasmah yang berkongsi tarikh lahir sama dengannya teringat Shuhaily berada di sana lalu mengajaknya meraikan hari berkenaan bersama.

“Dia kata, ‘Shuhaily, hari jadi kamu sama dengan saya, kan?’ Saya jawab, ‘Ya, Tun.’ Kemudian dia ajak saya meraikannya bersama.

“Tun M duduk di sebelah kanan saya, Tun Hasmah di sebelah kiri dan kami bertiga memegang pisau untuk memotong kek.

“Itulah kenangan yang saya tidak akan lupakan,” katanya.

Shuhaily berkata meskipun mereka hanya bertemu beberapa kali selepas itu, Dr Hasmah masih mengingatinya.

“Bagi kami, Tun Hasmah merupakan penyokong kuat kepada Tun Mahathir.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan kepada negara,” katanya.