'Ibu beritahu sudah sedia tinggalkan kita semua...'
Allahyarham Dr Hasmah Mohd Ali, 100, sempat meluahkan bahawa dia sudah bersedia untuk meninggalkan "semua" ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.
Anaknya Mukhriz Mahathir berkata perkara itu diluahkan Hasmah ketika dia melawat allahyarham di institut berkenaan malam tadi.
"Saya bersama dengan beliau malam semalam.
"Waktu itu beliau berada di IJN atas sakit yang lain. Mood beliau sangat ceria, namun beliau ada beritahu saya yang beliau dah bersedia untuk meninggalkan kita semua,” katanya kepada pemberita selepas istiadat pengebumian pembesar negara di Pusara Negara, di Putrajaya hari ini.
Mukhriz berkata ibunya dimasukkan ke IJN pada Sabtu lalu sebelum keadaannya bertukar kritikal selepas mengalami serangan jantung kira-kira jam 8 pagi tadi.
"Tanpa dijangka, saya dimaklumkan pihak hospital bahawa beliau mengalami sakit jantung kira-kira pukul 8 pagi dan saya terus bergegas ke IJN.
"Pihak pakar cuba melakukan CPR (resusitasi kardiopulmonari) sebelum beliau dipindahkan ke ICU (unit rawatan rapi)," katanya.
Mukhriz berkata pihak hospital kemudian memaklumkan CPR akan diteruskan selama 15 minit lagi dan sekiranya jantung Hasmah masih tidak memberikan tindak balas, usaha berkenaan akan dihentikan.
“Dan waktu itu kita dah faham maksud doktor, dan tepat jam 9.30 pagi, beliau telah meninggalkan kita semua," katanya.
Mengenai keadaan ayahnya, Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz berkata bekas perdana menteri itu berada di IJN bagi menemani isterinya sepanjang allahyarham menerima rawatan.
"Tun Mahathir tidak sakit, beliau cuma menemani allahyarham sepanjang berada di hospital dan kini telah pulang ke rumah. Sudah tentu beliau amat bersedih mengenangkan pasangan hidupnya selama 75 tahun itu," katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz bagi pihak keluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa atas ingatan tulus dan ucapan takziah yang disampaikan.
Dia turut mengajak orang ramai mendoakan agar roh allahyarham agar dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
- Bernama
/file/attachments/orphans/carry13_459855.png)
