Azalina: Tiada guna RUU Kebebasan Maklumat jika akhirnya jadi ‘RUU Kawalan Maklumat’
Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (FOI) tidak seharusnya berakhir sebagai undang-undang yang mengawal akses kepada maklumat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Azalina menegaskan kerajaan perlu memastikan undang-undang yang dicadangkan itu benar-benar mencapai matlamatnya, dan bukan sekadar diluluskan bagi memenuhi sesuatu komitmen.
“Kita tidak boleh mempunyai RUU Kebebasan Maklumat hanya untuk mengatakan kita mempunyai RUU Kebebasan Maklumat. Tak ada guna kita menamakannya sebagai FOI jika akhirnya ia menjadi RUU Kawalan Maklumat,” katanya dalam ucapan penutup pada sesi dialog awam kebangsaan mengenai RUU berkenaan di parlimen hari ini.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah kewujudan undang-undang kerahsiaan sedia ada, risiko pendakwaan terhadap pengamal media serta peruntukan yang mengehadkan cara mahkamah mentafsir undang-undang yang dicadangkan.
RUU Kebebasan Maklumat dibentangkan untuk bacaan pertama pada 13 Julai lalu sebelum Dewan Rakyat merujuknya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang dipengerusikan Azalina.
Jawatankuasa 12 anggota itu diberi tanggungjawab meneliti skop, struktur dan penggubalan RUU berkenaan, mencadangkan pindaan serta menyediakan laporan dalam tempoh tiga bulan, dengan peruntukan membolehkan tempoh itu dilanjutkan.
Azalina hari ini sekali lagi menegaskan komitmen untuk memastikan RUU Kebebasan Maklumat dibentangkan tahun ini seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, namun menekankan bahawa kandungan undang-undang itu lebih penting.
Tetapkan piawaian tinggi
Dia turut mempersoalkan nilai RUU berkenaan sekiranya pengamal media masih berdepan risiko didakwa ketika menjalankan tugas kewartawanan.
"Bagaimana anda mahu melaporkan sesuatu jika anda berisiko didakwa kerana membuat laporan? Jika semuanya berada di bawah risiko Akta Hasutan, apa gunanya?
“Lebih baik kita buang sahaja RUU ini. Kita kembali kepada keadaan sekarang dan terus hidup seperti biasa,” katanya.
Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Karim (gambar bawah), sebelum itu menggunakan pengalamannya lebih dua dekad dalam bidang kewartawanan untuk membangkitkan kebimbangan terhadap peruntukan yang menghendaki pemohon menyatakan tujuan permohonan maklumat secara jelas.
/file/attachments/orphans/ParlimenMalaysiasdsd_581303.png)
Antara persoalan yang dibangkitkannya ialah sama ada wartawan boleh dipertanggungjawabkan atau tidak sekiranya maklumat yang diperoleh digunakan untuk tujuan lain daripada yang dinyatakan pada awalnya, khususnya apabila perkembangan sesuatu laporan berubah sepanjang proses penerbitan.
Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ), Wathshlah G Naidu, turut menggesa PSSC menghasilkan undang-undang yang menetapkan piawaian tinggi terhadap hak mendapatkan maklumat.
“Ini bermakna maklumat mesti terbuka dan pendedahan maksimum perlu diberikan,” katanya.
Wathshlah berkata RUU yang dicadangkan itu perlu mengatasi peruntukan kerahsiaan sedia ada, termasuk yang terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Undang-undang ini mesti memastikan ia mengatasi mana-mana peruntukan kerahsiaan lain. Jika kerajaan benar-benar komited terhadap apa yang dijanjikannya, OSA perlu dimansuhkan sepenuhnya dan alasan pengecualian di bawah OSA dimasukkan ke dalam RUU Kebebasan Maklumat, atau OSA perlu dipinda,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Media Malaysia, Nallini Pathmanathan (gambar bawah), berkata RUU berkenaan perlu bermula dengan pengiktirafan bahawa maklumat adalah milik rakyat, bukannya memberi tumpuan utama kepada prosedur untuk mendapatkannya.
/file/attachments/orphans/ParlimenMalaysia3_557411.png)
Dia mengaitkan akses kepada maklumat dengan kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Anda tidak boleh bercakap atau menyatakan pendapat tanpa kebebasan mendapatkan maklumat. Anda memerlukannya. Jadi, asas bagaimana RUU ini ditangani adalah perkara yang menjadi persoalan,” katanya.
Nallini turut mempersoalkan klausa 22 yang disifatkannya sebagai menghalang mahkamah daripada menggunakan RUU tersebut untuk memperluas atau mentafsir perkara 10.
“Secara umumnya, sukar untuk mencari undang-undang lain yang seolah-olah memberitahu mahkamah apa yang perlu dilakukan. Ini kerana wujud konsep asas pengasingan kuasa – kehakiman, eksekutif dan legislatif. Ketiga-tiganya biasanya tidak campur tangan antara satu sama lain," katanya.
Selain itu dia turut memberi amaran bahawa tindakan parlimen mengarahkan badan kehakiman dengan cara sedemikian boleh menimbulkan persoalan dari sudut perlembagaan.
Kebimbangan melambatkan RUU
Nallini turut berpandangan bahawa pindaan perlembagaan tidak diperlukan untuk mengiktiraf hak mendapatkan maklumat kerana kebebasan bercakap dan bersuara sudah tertakluk kepada sekatan perlembagaan, termasuk berkaitan keselamatan negara.
Menjawab kritikan terhadap RUU berkenaan, Azalina berkata draf yang disediakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM adalah berbeza daripada versi yang sedang dibincangkan.
“Ada antara anda bertanya, mengapa kamu meletakkan RUU yang teruk itu? Sejujurnya, bagi BHEUU, untuk berlaku adil kepada mereka, itu bukan RUU mereka. Drafnya berbeza. Saya akan berterus terang,” katanya tanpa menghuraikan perbezaan tersebut.
Azalina berkata wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) turut hadir bagi mendengar pandangan yang dikemukakan, namun tidak akan memberikan respons.
Ahli Parlimen Pengerang itu menjelaskan tugas AGC adalah melindungi kepentingan negara, manakala ahli parlimen membawa suara dan kebimbangan rakyat serta masyarakat sivil berperanan sebagai badan pemantau.
Dalam ucapan penutupnya, Azalina berkata PSSC akan meneliti sama ada hak mendapatkan maklumat perlu dijamin secara jelas melalui pindaan Perlembagaan atau ditafsirkan menerusi perkara 10.
Katanya, usaha mendapatkan pindaan yang memerlukan sokongan majoriti dua per tiga boleh menyebabkan pembentangan RUU itu tertangguh, sambil menegaskan bahawa pandangan tersebut adalah pendapat peribadinya sebagai ahli Parlimen.
“Secara peribadi, bukan sebagai parti, tetapi sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya bimbang jika terdapat pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua per tiga, ia mungkin melambatkan RUU ini. Itu pandangan saya," tambahnya.
Kata Azalina, jawatankuasa itu juga akan meneliti rangka kerja undang-undang sedia ada, termasuk OSA, dalam menentukan hala tuju RUU berkenaan.
Susulan sesi dialog awam hari ini, Azalina berkata PSSC akan meneliti semua pandangan yang diterima sebelum menghasilkan RUU Kebebasan Maklumat sendiri, dengan sasaran untuk membentangkannya di Dewan Rakyat menjelang akhir tahun ini.
/file/attachments/orphans/am12_535472.png)
