Seorang wanita, jasa ibu dan jutaan kenangan tak terluput
Tiada satu kenangan, kata Mokhzani Mahathir, yang diingati tentang allahyarham ibunya. Dr Hasmah Mohamad Ali, yang meninggal dunia dan selamat dikebumikan di Putrajaya semalam.
Justeru, apabila ditanya wartawan tentang kenangan terakhir dia bersama almarhum itu, Mokhzani berkata, “tiada”. Namun itu bukanlah jawapan akhirnya.
Bagi Mokhzani, keberadaan Hasmah dalam hidup mereka sangat bermakna dan lebih daripada itu.
“Tidak ada satu kenangan terakhir, (tapi) ada berjuta-juta kenangan.
“Saya sangat gembira kerana kami ada begitu banyak masa untuk diluangkan bersama dia.
“Kami banyak berkumpul bersama keluarga dalam beberapa bulan, minggu dan hari kebelakangan ini. Jadi, kami mempunyai begitu banyak kenangan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian wanita yang menjadi antara doktor Melayu pertama negara itu.
Hasmah yang baru mencapai usia 100 tahun pada Julai lalu meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di Kuala Lumpur.
Asalnya, menurut seorang lagi anak pasangan Hasmah dan Dr Mahathir Mohamad itu, Mukhriz, ibu mereka dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami masalah kesihatan lain.
Namun, tiada siapa dalam keluarga itu menyangka pertemuan mereka di IJN malam kelmarin akan menjadi antara detik terakhir bersama Hasmah.
Menurut Mokhzani, ibunya ketika itu masih ceria dan mesra bersama keluarga. Keadaan hanya berubah secara tiba-tiba pada pagi semalam.
“Tapi pagi tadi ada perbezaan yang besar dan beliau tidak dapat dipulihkan, dan beliau telah meninggal,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai keadaan Mahathir yang kehilangan teman hidup yang setia di sisinya selama tujuh dekad, Mokhzani berkata, bapa mereka itu berada dalam keadaan baik meskipun berdepan hari yang sangat luar biasa.
“Dia akan baik-baik saja,” tambahnya.
Selepas pengebumian selesai, Mokhzani turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Hasmah termasuk Polis Diraja Malaysia, dan pelbagai agensi kerajaan yang membantu menguruskan perjalanan terakhir ibu mereka.
Namun, apa yang berlaku semalam bukanlah noktah kepada ingatan sekeluarga terhadap Hasmah.
Malam tadi mereka akan kembali berkumpul di rumah untuk mengadakan majlis tahlil selepas dan akan mungkin diteruskan pada hari hari ini dan esok.
/file/attachments/886/ChatGPTImageSep29202607_34_06AM_149443.png)
