Warden bekas tentera ditempatkan di semua MRSM
Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan akan memperluas percubaan mengambil bekas anggota tentera sebagai warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ke semua kampus di seluruh negara mulai 1 Jan 2027.
Mara juga mengambil langkah untuk menangani buli psikologi, selain keganasan fizikal.
Langkah berkenaan dibuat ketika Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki memperhebat usaha menunjukkan ketegasannya dalam menangani buli di institusi yang diterajuinya itu.
Mara mula menguji pengambilan bekas anggota pasukan keselamatan sebagai warden MRSM pada April tahun lalu.
Pada April tahun ini, kajian selama sembilan bulan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melibatkan dua kampus mendapati percubaan itu membuahkan hasil positif. Dilaporkan tiada kejadian buli sepanjang tempoh kajian.
Mara kemudian mengambil bekas anggota tentera sebagai warden di lapan lagi kampus MRSM pada Jun, sebagai langkah awal sebelum memperluas penempatan itu ke semua 58 kampus pada Januari depan.
Dalam kenyataan hari ini, Asyraf berkata kajian UPM antara lain mendapati kehadiran warden secara tersusun mengecilkan ruang untuk kejadian buli dan vandalisme. Pelajar juga didapati lebih berdisiplin, bersopan santun dan menepati masa, selain berasa selamat.
Menurutnya, dia telah meminta UPM menyediakan modul latihan untuk warden baharu itu serta menjalankan kajian bagi menangani buli psikologi secara lebih menyeluruh.
Perkembangan itu menyusul ketika keselamatan sekolah kembali menjadi perhatian selepas seorang pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun meninggal dunia di asrama sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Polis mengklasifikasikan siasatan sebagai kes bunuh manakala seorang pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan. Laporan media menyebut dakwaan kejadian itu mungkin berkait dengan buli, namun polis belum mengesahkannya secara terbuka.
Susulan kejadian itu, Asyraf menggesa supaya filem dan drama yang memaparkan buli dihentikan kerana bimbang ia boleh mendorong perbuatan meniru.
Dia turut mencadangkan tujuh langkah “radikal” untuk menangani buli di sekolah. Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata banyak daripada cadangan itu sudah dilaksanakan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/f418a78166e916e9b10668ec4c590e2c.jpg)
